Che Long Harap Keputusan Undi Awal Lebih Baik

http://buletinonline.net/images/stories/aberita24/chelongundiawal.jpgBESUT - Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N1 Kuala Besut, Haji Endot@ Azlan Yusof atau panggilan mesranya ‘Che Long’ berada di Pusat Pengundi awal dari pagi kehingga ke petang.

Kehadiran Che Long seawal jam 8.30 pagi menyantuni anggota tentera dan polis yang terlibat dengan pengundian awal yang diadakan di Dewan Serbaguna Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Gong Kedak Besut, hari ini.

Che Long ditemani Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad disambut mesra oleh hampir kesemua pegawai dan kakitangan anggota tentera dan polis yang mengundi awal ketika beliau memperkenalkan dirinya.

Kata Che Long, sambutan anggota tentera yang mengundi hari ini cukup baik dan berharap boleh berlaku perubahannya.

“Kita (PAS) tahu masalah orang dalam kem ini bukan semuanya sokong kerajaan BN, tapi mungkin ada yang ‘takut-takut’. Insya’Allah, kita berdoa semoga Allah SWT beri kekuatan kepada mereka (pengundi) untuk berubah.

“Insya’Allah…Che Long harap mereka (pengundi) boleh undi Che Long dan beri kemenangan kepada PAS,” ujarnya.

Manakala, Ustaz Wan Azhar berpendapat reaksi muka di kalangan anggota tentera yang mengundi awal itu cukup baik dan ceria.

“Saya fakir berdasarkan reaksi muka mereka (tentera) yang keluar mengundi awal tadi, nampak cukup baik, mesra dan menyakinkan kita (PAS). Semoga undi boleh diberikan kepada calon kita…Che Long,” jelasnya ketika dihubungi Harakah.

Harakah dimaklumkan, seramai 1,134 anggota tentera dan pasangan serta 14 anggota polis layak melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada pilihan raya kecil ini.

Pengundian awal tersebut dijalankan menerusi dua saluran yang dibuka oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di TUDM, Gong Kedak, Besut.

Pada PRK Kuala Besut ini, pihak SPR mensyaratkan kepada setiap pengundi dikehendaki mencelup jari ke dalam dakwat kekal berbanding kaedah mencalit pada kuku semasa Pilihan Raya Umum (PRU), 5 Mei lalu.

PRK Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar, 55, yang meninggal dunia pada 26 Jun lalu di Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, akibat kanser paru-paru.

Pilihan raya kecil ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan calon PAS, Haji Endot@Azlan Yusof.

SPR juga menetapkan bagi pengundian awam sejumlah 16,534 orang pemilih biasa layak mengundi pada 24 Julai ini.

Ulasan