Dun Rantau Abang dan Teluk Pasu kekal milik PAS

- Dun Rantau Abang dan Teluk Pasu kekal milik PAS

Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Terengganu menolak dengan kos dua petisyen yang difailkan oleh Barisan Nasional (BN) untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) yang dimenangi PAS.

Pempetisyen tersebut dibuat oleh calon BN-Rantau Abang, Dato Zaabar Mohd Adib selaku plaintif terhadap Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Haji Mohd Akil Haji Mat (defendan).



Kes tersebut dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Dato Sri Mariana Haji Yahya di Tingkat 9, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, pada 18 Julai lalu.

Hakim Pilihan Raya, Dato Sri Mariana membuat keputusan menerima bantahan awal yang dikemukakan oleh Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan calon PAS-Rantau Abang, Alias Harun.

Setelah menimbang, mahkamah menerima bantahan awal dari responden 1,2 dan 3. Mahkamah mendapati petisyen yang dikemukakan itu cacat kerana tidak mengikut kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan pilihan raya.

Maka tidak ada pilihan untuk mahkamah membatalkan petisyen itu. Oleh yang demikian, mahkamah membatalkan petisyen ini dengan kos RM50,000 ke atas responden 1 dan 2 serta RM30,000 untuk responden 3, tegasnya ketika membuat keputusan mahkamah.

Pada pilihan raya 5 Mei lalu, Cikgu Alias (PAS) telah menewaskan penyandangnya Dato Zaabar Mohd Adib dengan majoriti 141 undi.

Manakala, bagi petisyen Dewan Undangan Negeri (Dun) Teluk Pasu pula, hakim yang sama telah membuat keputusan menolak petisyen tersebut dengan kos yang sama seperti Dun Rantau Abang.

Pempetisyen itu dibuat oleh Dato Abdul Rahin Mohd Said selaku plaintif kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Wan Nawawi Wan Ismail (responden 1), Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (responden 2) dan Ridzuan Hashim (responden 3)

Pada PRU lalu, calon PAS-Teluk Pasu, Ustaz Ridzuan Hashim berjaya mengalahkan penyandangnya Dato Abdul Rahin Mohd Said dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 109 undi.

Dalam perbicaraan kes tersebut, Adun-Adun PAS diwakili oleh peguam Saifudin Othman, Mohd Kamaruzzaman A.Wahab, Faris Irwan Mustafa, Mohd Azwan Roslee dan Muhammad Hafizuddin Abdul Haris.

Sementara itu, Peguam PAS, Mohd Kamaruzzaman berkata petisyen BN terhadap PAS melibatkan Dun Rantau Abang dan Dun Teluk Pasu. Pihak kami (PAS) dan Peguam Negara telah membuat bantahan awal petisyen tersebut.

Petisyen hari ini melibatkan Dun Teluk Pasu dan Dun Rantau Abang yang dibuat oleh BN. Pihak kami (PAS) dan pihak Peguam Negara telah membuat bantahan awal terhadap petisyen itu.

Petisyen itu tidak mengikut peraturan dalam kaedah-kaedah petisyen pilihan raya. Jadi antara alasannya, kedua-dua petisyen ini satu isu iaitu penolakan ketua tempat mengundi yang menolak kertas undi yang ada kesan dakwat kekal.

Mahkamah mengatakan ketua tempat mengundi ini tidak melakukan sebarang kesalahan yang menolak kertas undi itu dan keputusan ketua tempat mengundi juga adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan di mahkamah.

Bantahan awal respondan-respondan diterima oleh mahkamah dan petisyen itu juga dibatalkan dengan kos. Kos RM50,000 kepada Peguam Negara (respondan 1) dan Pengurus Pilihan Raya (respondan 2) dan RM30,000 kepada respondan 3, jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media sebaik sahaja selesai kes tersebut di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Ulasan