Kemiskinan aset BN ‘ikat’ pengundi

http://buletinonline.net/images/stories/aberita23/miskin%20kuala%20besut.jpgBESUT - Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali berkata Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) menjadikan kemiskinan rakyat sebagai aset penting kepada parti itu untuk mengikat pengundi setia bersama BN.

Beliau menegaskan Umno menjadikan kemiskinan rakyat itu sebagai aset penting kepada parti agar masyarakat dan pengundinya ‘terlekat’ kepada BN.

“Kemiskinan itu seolah-olah menjadi aset kepada BN, menggunakan itu supaya rakyat dan pengundi ‘terlekat’ kepada BN.

“Ini bukan suatu cara yang baik untuk membangunkan masyarakat, hendak membina masyarakat dan hendak membawa kemajuan kepada masyarakat. Bukan caranya meletakkan kebergantungan terus-menerus kepada BN sejak berpuluh tahun lalu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang medianya di Markaz Besar Pilihan Raya N1 Dun Kuala Besut, di Kampung Baru, Kuala Besut dekat sini, hari ini.

http://buletinonline.net/images/stories/aberita23/miskin%20kuala%20besut1.jpgSebab itu, kata Dato’ Mustafa, keadaan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut sebenarnya tidak banyak berbeza dengan perkembangan 20 tahun lalu.

Menurutnya, Dun Kuala Besut sebelum ini pernah terlibat dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) tetapi tidak banyak bezanya dari segi kemajuan dan perkembangan ekonomi penduduk.

“Tahun 1979 dulu telah ada satu pilihan raya kecil dan saya jadi pengarahnya ketika itu. Ini sudah lebih 30 tahun tetapi jika hendak bandingkan dahulu (1979) dengan sekarang ini tidak banyak beza dan perubahan yang berlaku dalam pembangunannya,” kata Dato’ Mustafa.

Menurutnya, kadar pengangguran bertambah dan kemiskinan masyarakat masih tinggi sebab itulah kebergantungan rakyat kepada bantuan kerajaan juga tinggi.

Justeru, Dato’ Mustafa mengingatkan kepada para pengundi di Dun Kuala Besut agar mengambil peluang dari PRK ini bagi mengubah keadaan tersebut.

Katanya, kesan cukup besar kepada rakyat jika PAS berjaya memenangi pilihan raya kali ini dengan menjadikan keputusan 16-16 antara Pakatan Rakyat dengan BN.

http://buletinonline.net/images/stories/aberita23/miskin%20kuala%20besut2.jpg“Jadi pentingnya peluang PRK di Kuala Besut ini kepada rakyat jika ditakdirkan oleh Allah SWT…Insya’Allah, kemenangan memihak kepada PAS dan akan jadilah keputusannya 16-16 (Pakatan Rakyat-BN) dan ini akan memberi kesan yang banyak kerajaan (Terengganu),” ujarnya.

Tambah beliau, jika signifikalnya memihak kepada PAS ianya akan memberi manfaat yang banyak kepada rakyat dan masyarakat di Dun Kuala Besut ini.

“Dari segi ekonomi, dari segi sosio-budayanya, dari segi kehidupan itu yang mungkin boleh mengubah suasana masyarakat di Kuala Besut ini. Hatta, secara perbandingan pun dengan tiga lagi Dun di Besut ini kita (PAS) dapati Dun Kuala Besut yang paling tertinggal.

“Ini suatu perkara yang sangat menyedihkan. Seolah-olah pemimpin (Umno) ini tidak sedar atau mungkin dia (BN) rasa boleh menang mudah dan dia tidak peduli. Tetapi dengan adanya keputusan pilihan raya yang memihak begitu, akan memberi suatu kejutan dan kesedaran kepada pemimpin mereka (BN),” jelasnya.

Hadir sama pada sidang media tersebut dua pimpinan PAS Pusat iaitu Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad dan Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli.

Ulasan