Pemuda PAS Gerakkan Kempen '16 : 16'

http://buletinonline.net/images/stories/aberita23/lancar%20ramdhan%20bulan%20ibadah.jpgKUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan menggerakkan kempen menarik sasaran dari golongan pengundi muda dengan mengenengahkan slogan dan motto '16 : 16' pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Besut.

Timbalan Ketuanya, YB Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz yakin, ia  mampu menarik para pengundi termasuk orang muda sekaligus memberi kemenangan kepada calon PAS yang akan bertanding dalam pilihanraya tersebut.

Menurutnya, isu berkait masalah kerusi berimbang '16 : 16' tersebut, merupakan suatu persoalan baru yang tidak pernah berlaku dalam politik negara ini sebelum ini dan sudah tentu menimbulkan perasaan ingin tahu di kalangan ramai pihak.

Pihaknya juga akan terus mengambil pendekatan 'mesra anak muda' dengan mesra bagi menarik mereka bersama-sama PAS memberi kemenangan pada calon parti itu, 24 Julai ini.

“Tumpuan Pemuda adalah bertumpu kepada anak-anak muda di Kuala Besut. Kita yakin untuk PRK ini, kita akan mendekati anak muda dengan mesra dan kita punya motto ‘16-16’ kerana ia akan memberi suatu benda yang agak baru kepada politik negara kita.

“Ia akan berkait dengan undang-undang di negara kita, benda ini tidak berlaku lagi dan kita tengok bagaimana ia diselesaikan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas menyampaikan pandangannya sebagai ahli penal, pada Forum Ambang Ramadhan sempena Karnival Jom ke Masjid yang diadakan di Masjid Pengadang Baru, di sini, malam semalam.

Sehubungan itu, Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas  yakin perubahan akan berlaku pada PRK Kuala Besut, bahkan PAS mempunyai peluang untuk menang DUN tersebut, walaupun majoriti BN agak besar pada PRU-13 yang lalu.

Beliau meletakkan keyakinan, golongan pengundi muda masih menyokong PAS dan akan menjadi  penyumbang besar kepada kemenangan PAS pada pilihanraya yang bakal diadakan pada 24 Julai depan.

Pada umunya di kawasan Pantai Timur, kata beliau, anak-anak muda memihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat berdasarkan keputusan PRU-13 yang lalu.

“Di Pantai Timur keseluruhannya pada PRU13, anak muda memihak kepada kita, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Kita yakin dengan Kuala Besut yang berdekatan dengan Kelantan walaupun baru-baru ini undinya 2,000 lebih.

“Kita yakin untuk PRK ini, apa-apa pun boleh berlaku dan dengan semangat yang kita ada yang kita perolehi daripada PRU13, kita yakin membuat satu kejutan di Kuala Besut, insya ALLAH,” katanya.

Beliau berkata, jentera Pemuda akan turun ke Kuala Besut dalam minggu ini bagi membantu kemenangan calon Pas dan pihaknya telah pun mengeluarkan arahan kepada seluruh Pemuda Pas supaya bersiap sedia di bulan Ramadan ini untuk bertemu di Kuala Besut.

Turut serta sebagai ahli panel forum ialah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Dalam majlis sama, Ustaz Abdul Hadi turut merasmikan Pelancaran Ramadan Bulan Tarbiyah sempena karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula Khamis lalu.

Ulasan