PRK Kuala Besut - PAS Cabar BN Bertanding Secara ‘Gentleman’

KUALA TERENGGANU - PAS mencabar Umno dan Barisan Nasional (BN) bertanding secara ‘gentleman’ dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N1 Kuala Besut dan bertanding secara bersih pada 24 Julai ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Abu Bakar Chik mendesak agar pemimpin Umno-BN tidak mempergunakan senjata duit bagi membeli rakyat pada PRK di Kuala Besut.

Katanya, kerajaan BN boleh menyampaikan mesej parti mengikut saluran demokrasi yang betul dan biar rakyat boleh membuat keputusan.

“Saya percaya, jika pilihan raya ini berlaku secara adil. Saya cabar Idris Jusoh (Ketua Bahagian Besut) supaya pilihan raya (PRK) ini jangan guna duit untuk beli rakyat di Kuala Besut.

“Biar ‘gentleman’, sampaikan mesej BN dan biar rakyat buat keputusan. Jangan beli rakyat dan jangan rasuah rakyat…kita (PAS) cabar dia (Umno) dan jangan guna Polis untuk ‘ugut’ rakyat.

“Didik rakyat dan berikan peluang dalam pilihan raya ini supaya pemimpin kita (PAS) boleh bercakap terbuka dalam tv dan radio, jika betul dia (pemimpin) ‘gentleman’ dan hebat,” tegasnya ketika ditemui Harakah di pejabatnya di Km.14, Jalan Kelantan, Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu hari ini.

Mengulas saranan Idris agar PAS tidak bertanding pada PRK ini bagi meraikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, beliau mendakwa kemenangan itu turut diragui.

Ini kerana, katanya kemenangan BN pada PRU13 lalu bersadurkan penipuan serta manipulasi pelbagai pihak dalam kerajaan.

“Kita (PAS) selamanya di atas penyelewengan memang kita akan menentang. Tapi jika kemenangan dia (BN) dalam pilihan raya tanpa penyelewengan itu kita terima.

“Oleh kerana, kemenangan BN itu bersadur dengan penipuan. Maka, sehingga hari ini kita (PAS) tidak melihat sebab kenapa kita hendak memperakui suatu kemenangan yang dia (BN) capai dalam PRU lalu kerana kemenangan mereka penuh dengan penipuan dan penyelewengan.

“Kemenangan mereka (BN) juga kerana manipulasi media, manipulasi maklumat dan manipulasi daftar pemilih SPR termasuk merasuah rakyat,” dakwa Ustaz Abu Bakar.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat menjelaskan penyertaan parti  dalam pilihan raya bagi melaksanakan tugas PAS sebagai sebuah parti politik dan parti dakwah.

Justeru, katanya soal PAS menang atau kalah dalam menyertai pilihan raya tersebut adalah persoalan kedua.

“PAS menghadapi pilihan raya bererti melaksanakan tugas PAS sebagai sebuah parti politik dan parti dakwah. Menyampaikan isu dan kebenaran kepada rakyat. Kalah atau menang itu perkara kedua kerana medan pilihan raya adalah medan untuk rakyat buat ‘check and balance’.

“Kita (PAS) serah balik kepada (keputusan) rakyat untuk buat pilihan dan tidak mustahil jika rakyat (pengundi) akan buat bertukar fikiran untuk mengundi pilih PAS.

“Sebab, selepas PRU13 lalu, rakyat telah mula melihat harga kereta pun tidak turun, bahan api (minyak) akan naik, harga barangan keperluan naik dan banyak lagi yang membebankan rakyat. Jadi tidak mustahil rakyat akan beri undi itu kepada PAS,” ujarnya.

Menurutnya, tidak mustahil jika PAS berjaya membuat kejutan dalam PRK ini jika pilihan raya adil, bersih dan telus.

Ulasan