Ameerah Bantu Bangkit Kesedaran Masyarakat

MARANG – Ameerah Bukit Payong telah menganjurkan satu program ceramah bagi menangani isu murtad iaitu isu besar yang dibimbangi masyarakat Islam seluruhnya.

 Program selama dua jam itu dipenuhi dengan ceramah oleh pendakwah bebas Ustaz Muhammad Fitri Abdullah yang juga bekas mubaligh hindu itu dan disertakan sesi soal jawab oleh peserta.
Bagi Ameerah program ini adalah bagi memberi kesedaran masyarakat setempat untuk meningkatkan kefahaman akan bahayanya gejala murtad ini.
 
Salah seorang jawatankuasa penganjur saudari Nurul Izzah Rosely berkata, program ini adalah salah satu cara Ameerah membantu masyarakat bagi membuka minda mereka dengan perkara-perkara yang mungkin agak asing bagi sesetengah mereka.

Beliau berkata Ameerah mengambil inisiatif bagi memupuk kesedaran kepada masyarakat kampung yang mana sekarang ini mungkin gejala ini masih tidak mengancam di kampung-kampung tetapi belum tentu dimasa depan.

Ameerah adalah satu entiti daripada Dewan Muslimat PAS yang ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu yang diambil dari perkataan arab yang bermaksud “Pemimpin Muda”.

Keanggotaan mereka terdiri daripada gadis-gadis remaja dan dewasa yang berusia antara 18 hingga 40 tahun yang berfungsi sebagai rakan kepada golongan muda.

Dalam program bertajuk “Indahnya Hidayah Allah” itu pendengar mendapat banyak manafaat tentang bahaya murtad dan langkah-langkah mengatasinya.

Nurul Izzah berkata program ini mencapai maksud dengan kehadiran hampir 300 orang melebihi sasaran 200 orang yang menggabungkan ahli Muslimat PAS dan Ameerah di Dun Bukit Payong.

Beliau yang jelas gembira dengan jumlah kehadiran itu seterusnya menyatakan bahawa program seterusnya ialah kempen mencintai ibu bapa yang dijangka akan berlangsung pada bulan Mac nanti.
“Ameerah sentiasa akan membantu bagi membina masyarakat yang lebih baik. Kita melihat ramai remaja yang ada masalah dengan ibu bapa mereka.

“Jadi kita akan mengambil langkah mencegah gejala ini melalui kempen mencintai ibu bapa yang akan diadakan pada bulan Mac nanti insyaAllah,” katanya

Program itu diakhiri dengan ucapan penutup oleh YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang menggalakkan agar penekanan tauhid diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak agar gejala murtad dapat dihindari.

Ulasan