‘Berat Mata Memandang, Berat Lagi Bahu Memikul’

Oleh; Mohd Tishaah

KEMAMAN – Pusat Bantuan Banjir PAS Kawasan Kemaman meneruskan usaha membantu mangsa banjir di Kemaman dengan menyalurkan pelbagai barangan keperluan harian kepada mangsa banjir dan membantu membersihkan rumah mereka.

Yang DiPertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Alias Abdul Hamid berkata, ‘mesyuarat penyelarasan Bilik Gerakan (BG) Banjir PAS Kemaman diadakan setiap malam bagi menyelaras semua kerja.

“bagi mengelak pertindihan aktiviti membersih rumah dan premis serta mengagih barangan keperluan ke rumah,”.

“kedatangan petugas sukarelawan dan Unit Amal dari luar Kemaman amat ramai dan semalam dianggarkan hampir 1,000 orang telah datang dan kami menyediakan makanan kepada mereka ini’, ujarnya.

Menurutnya, bantuan keperluan dan peralatan seperti selimut, toto, tuala hingga periuk nasi elektrik datang dari para dermawan seluruh Malaysia.

Oleh itu beliau mewakili PAS Kawasan Kemaman mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu warga daerah Kemaman.

“PAS Kawasan Kemaman ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada semua dermawan yang bermurah hati membantu mangsa banjir di Kemaman ini,” ujar Ustaz Alias.

‘Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’.

Itulah ungkapan yang mampu diucapkan ADUN Ladang, Dato Tengku Hassan Tengku Omar ketika turun padang berjumpa dengan mangsa banjir di Kemaman semalam.

Beliau datang bersama 60 petugas dari Pusat Khidmat Masyarakat DUN Ladang menyalurkan barangan keperluan seperti toto, selimut, bantal serta barang makanan dan membersih rumah mangsa banjir di Taman Permai Jaya, Batu 3, Kemaman.

Pada sebelah petang, ADUN Ladang dan rombongannya ke Kampung Jabur Kubur dan Kampung Mak Chili untuk mengagihkan barangan keperluan dan membersih rumah mangsa banjir.

Beliau meminta mangsa banjir bersabar dengan ujian Allah dan berkata ada hikmah di sebalik yang berlaku.

Ulasan