‘Kem Solat dan Matematik’; Makna dan Simbolik Berbeza

kem solat2
SETIU – Seramai 70 orang kanak-kanak menyertai kem cuti sekolah, ‘Kem Solat dan Matematik’ anjuran Penyelaras Pemuda PAS Dun Jabi, bertempat di Markas PAS Cawangan Kerandang Jabi, dekat sini.

Pengarah Majlis Tindakan Dun yang juga Anggota Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata kem julung-julung kali diadakan itu berbeza dari segi makna dan simboliknya.

“Penganjuran Kem Solat dan Matematik anjuran Penyelaras Pemuda PAS DUN Jabi ini amat menarik dari segi makna dan simboliknya. Solat adalah ibadat penghubung antara seorang hamba dengan Allah.

“Matematik pula ilmu yang diperlukan dalam hubungan antara sesama manusia. Apatah lagi bapa ilmu matematik yang mengasaskan kaedah algebra adalah seorang ilmuan Islam bernama Al Khawarizmi.” ujarnya ketika berucap menutup kem tersebut semalam Isnin 23 Disember.
Walaupun bunyinya ringkas, kata beliau, ‘Kem Solat dan Matematik’ membawa iktibar sangat mendalam.

Menurutnya, dalam kehidupan sebagai seorang manusia, ada dua fokus hubungan yang perlu dijaga dan dibajai dengan sebaiknya.

“Yang pertama hubungan dengan pencipta kita dan yang kedua hubungan antara sesama makhluk bernama manusia. Seorang hamba yang baik di sisi Allah, dia juga adalah seorang hamba yang baik dan bermanfaat kepada manusia yang lain.

“Kunci kecemerlangan seorang manusia adalah apabila ia mampu meletakkan dirinya di tempat yang sewajarnya sebagai seorang hamba Allah dan ahli masyarakat yang berbakti.”jelasnya
Sehubungan itu, melihat kepada kejayaan kem ini, Ketua Penyelaras Pemuda PAS Dun Jabi, Saudara Rafie Long Hasan berhasrat untuk memasukkan program ini ke dalam kalendar tahunan mereka di samping beberapa program yang telah menjadi rutin dan identiti Pemuda Dun Jabi seperti Program berkhatan beramai-ramai.

“Setiap kali hampir cuti sekolah, bagaikan sudah sinonim akan timbul soalan orang ramai, bila tarikh program berkhatan? Selepas ini kita mengharapkan orang akan sematkan dalam perancangan mereka setiap kali tiba musim cuti sekolah untuk hantar anak ke Kem Solat anjuran Pemuda PAS Jabi.” Kata beliau penuh harapan.

Rafie berkata, kem tersebut turut dibantu tenaga fasilitator dari beberapa buah institusi pengajian tinggi dan kem tersebut berlangsung dengan meriah dan disifatkan sebagai sangat Berjaya.

Ulasan