Kerajaan Terengganu yang diterajui parti Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu menafikan peruntukan khas kerajaan yang sepatutnya disalurkan melalui wakil-wakil rakyat PAS dan Parti KeADILan Rakyat (PKR).
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata wakil-wakil rakyat dari pihak pembangkang seperti PAS dan PKR di Terengganu langsung tidak diberikan peruntukan kerajaan.
Hal ini, katanya tidak berlaku di Pulau Pinang dan Selangor yang diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat seperti DAP dan PKR.
“Saya dan wakil rakyat pembangkang dari PAS dan PKR langsung tidak diberikan peruntukan oleh kerajaan negeri untuk setiap Dewan Undangan Negeri (Dun).
“Tapi, ianya (peruntukan) tidak bermakna kita (PAS) tidak boleh buat kebajikan untuk membantu rakyat dalam Dun,” ujarnya pada majlis Khatan Perdana Dun Tepoh di Surau Kuning Pak Tusu dan Surau al-Hidayah Bukit Berangan, baru-baru ini.
Menurutnya, jika setiap Adun diberikan peruntukan bagi pembangunan Dun oleh kerajaan negeri sudah pasti rakyat mendapat banyak manfaat.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Kuala Nerus tetap optimis bagi menunaikan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat yang dipilih.
“Jika boleh program berkhatan ini saya hendak beri percuma tetapi kerana kekangan kewangan, kita (PAS) terpaksa kenakan sedikit bayaran untuk tampung kos.
“Kita (PAS) kenakan RM50 seorang, cuma anak-anak yatim atau keluarga yang sangat miskin sahaja diberi percuma,” ujarnya.
Pada majlis tersebut seramai 60 orang kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun menyertai khatan tersebut pada musim cuti persekolahan.
Ulasan