‘Mantan’ Yakin SU Akan Bawa Banyak Perubahan

IMG-20140107-WA0084KUALA TERENGGANU – Seluruh kakitangan Pejabat Badan Perhubungan PAS negeri Terengganu (BPPNT), Dewan-dewan, dan kawasan-kawasan diharapkan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Setiusaha Badan Perhubungan yang baru.

Mantan Setiausaha, Haji Yahaya Ali yakin, Haji Muhyiddin Abd Rashid dapat melaksanakan tugas yang lebih baik, bagi meningkatkan pengaruh PAS.
“Saya yakin Haji Muhyuddin boleh melakukan lebih baik daripada saya sebagai pentadbir parti dengan (kerana) usianya yang masih muda.

“Apa yg penting semua pihak dari (samada) para pegawai pejabat Perhubngan (negeri), Dewan-dewan dan Kawasan-kawasan hendaklah memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada beliau.

“Saya rasa beliau akan membuat banyak perubahan samada diperingkat dalaman atau luaran khususnya dalam meningkatkan imej parti,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis ringkas penyerahan tugas, di pejabat PAS, di Jalan Sultan Omar dekat sini.

Haji Yahaya yang kini Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu telah berkhidmat sebagai Setiausaha kepada empat orang Pesuruhjaya iaitu Dato’ Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang, Dato’ Mustafa Ali, Dato’ Tuan Guru Harun Taib dan Hj Mohd Abdul Wahid Endut.

Beliau optimis, penyusunan kepimpinan dan kabinet oleh Pesuruhjaya yang baru, YB Ustaz Satiful Bahri Mamat baru akan memberi natijah yang baik kepada masa depan PAS Terengganu khususnya, dalam menghadapi pilihanraya umum yang akan datang.

Sehubungan itu, Haji Muhyiddin ketika ditemui selepas majlis tersebut, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Haji Yahaya Ali yang disifatkannya telah berkhidmat dengan cemerlang.

Beliau yang juga Yang DiPertua PAS Hulu Terengganu berkata, akan meneruskan kecemerlangan tersebut dan berusaha meningkatkan kecekapan pentadbiran dengan latihan dan kemahiran terkini.

“saya ucap terima kasih kepada Haji Yahaya, dan Insya Allah akan meneruskan kecemerlangan beliau serta meningkatkan budaya kerja dengan latihan kepada para petugas PAS,

“kecekapan mengurus amat penting bagi mengujudkan suasana kerja lebih mesra kerana PAS kini adalah sebuah parti politik yang mampu membawa rahmat kepada semua rakyat,”jelasnya.

Beliau yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya II pada sesi lalu menyifatkan amanah sebagai Setiausaha merupakan satu cabaran yang amat berat untuk dilaksanakan.

Namun katanya, tidak ada rintangan yang tidak boleh diatasi sekiranya prinsip-prinsip ‘usrah’ iaitu ta’awun (kerjasama) dan amal jamai’e (team work – kerja berkumpulan) dapat direalisasikan dalam pentadbiran.

Ulasan