PAS Harap Mohd Zulkifli Bersabar

02 - KebakaranDUNGUN – Tujuh sekeluarga hanya tinggal sehelai sepinggang setelah rumah kediaman mereka musnah dalam satu kebakaran di Kampung Tanjung Pagar, di sini petang Isnin 20 Januari.

Ketua keluarga terbabit, Mohd Zulkifli Baru, 52, berkata, ketika kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.00 petang itu, hanya anak sulung lelakinya berada di rumahnya.

Beliau berkata, anaknya tidak mampu berbuat apa-apa kerana api marak dengan cepat, dan memusnahkan hampir keseluruhan rumah kayu mereka.

Katanya, seorang lagi anaknya berada di rumah jiran, sementara tiga lagi belum pulang dari sekolah, manakala beliau dan isteri masih berada di tempat kerja.

“Saya diberitahu oleh salah seorang anak melalui telefon yang memaklumkan rumah kami terbakar dan meminta saya balik ke rumah, setelah sampai sebahagian besar rumah kami hampir musnah dijilat api”,kata Mohd Zulkifli.

Katanya, anggaran kerugian secara kasarnya kira-kira RM150, 000 termasuk peralatan rumah yang turut hangus dalam kejadian itu.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, YB. Haji Wan Hapandi Nik yang bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima berita.

Kebakaran DUN Sura3Beliau sempat menenangkan Mohd Zulkifli, yang merupakan seorang kakitangan di Pejabat Pelajaran Daerah Dungun.

Wan Hapandi merakamkan ucapan takziah dan berharap Mohd Zulkifli bersabar menghadapi musibah tersebut.

“Saya bagi mewakili seluruh warga DUN Sura dan PAS Kawasan Dungun merakamkan takziah di atas musibah yang menimpa dan berharap saudara Mohd Zulkifli bersabar di atas ujian ini”, ujarnya yang juga Pengerusi Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Dungun.

Wan Hapandi turut menyampaikan sedikit sumbangan kewangan kepada Mohd Zulkifli bagi meringankan beban yang ditanggung olehnya.

Ulasan