Pasukan Sorak Bola Sepak Tidak Manis Dan Melanggar Susila Agama

faizul1KUALA TERENGGANU – Seseorang wanita Melayu yang Bergama Islam, walau pun dalam keadaan menutup aurat, tidak sayugia bersorak-sorak dan ‘terpekik terlolong’ di tepi padang bagi meraikan satu pasukan bola sepak.

Apatah lagi ianya adalah bertujuan untuk didengari oleh kaum lelaki yang ‘kononnya’ untuk member semangat pasukan Kelab Bola Sepak Kuala Terengganu atau T-Team.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Terengganu Wan Faizul Wan Abas berkata, beliau terpanggil untuk memberi teguran agar adab sopan dan kehidupan beragama rakyat Terengganu tidak dicemari.
 
“Kalau memang benar sekalipun mereka tidak seperti pasukan sorak di barat yang terlompat-lompat dan terkinja-kinja dengan pakaian menjolok mata, adakah yang akan dipersembahkan oleh mereka itu menepati syarak?

“Adakah pakaian mereka menutupi aurat? Kalau pun memakai pakaian yang menutup aurat sekalipun, adakah wajar wanita Melayu yang beragama Islam dan beriman dibenarkan bersorak-sorak dengan didengari oleh kaum lelaki bagi member semangat buat T-Team?,”ujarnya.

 Beliau berkata demikian, mengulas kenyataan pegawai pasukan bola sepak tersebut yang mendakwa bukannya bulat-bulat mencedok idea pasukan sukan di negara Barat, tetapi membuat penambahbaikan untuk memajukan sukan bola sepak.

Beliau berpendapat jawapan Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Abdul Rasid Jusoh, sangat dangkal dan terkeluar dari garis panduan syariat Islam.

“Beliau menegaskan bahawa tujuan penubuhan pasukan sorak itu bukan berniat untuk mencedok idea dari barat, sedangkan orang Melayu yang penuh dengan tata susila dan berpegang teguh dengan prinsip agama,

“dari zaman dahulu tidak pernah ada dalam mana-mana sejarah Timur sekali pun ada pasukan sorak perempuan untuk orang lelaki ‘berpencak silat’ umpamanya,”jelas Wan Faizul.

Menurutnya, dari segi fakta sukan bola sepak juga, pasukan yang hebat dan memenangi juara dunia tidak pula kedengaran ada satu pasukan sorak yang terbukti telah menyebabkan ia menang dalam satu-satu pertandingan atau perlawanan.

Namun, sains sukan telah menunjukkan bahawa kepakaran dalam sesuatu bidang itu dengan latihan yang mencukupi adalah pra-syarat untuk mencapai kejayaan.

“Satu kemusykilan lagi, benarkah dengan adanya pasukan sorak ini akan menaikkan prestasi T-Team?

“Saya rasa ia bukan sahaja tidak mendatangkan apa-apa faedah terhadap pasukan, bahkan hanya mengundang kemurkaan dari Allah azza wa jalla,”tegasnya.

 Justeru, kata beliau, cukuplah dengan pelbagai gejala sosial yang semakin hari semakin bertambah di negeri Terengganu ini.

“Bola sepak tidaklah salah tapi jangan hanya kerana memikirkan prestasi di dunia, jangan lah kita kita sanggup membelakangkan tata susila dan larangan Allah SWT,”katanya.

Ulasan