Songlap’ Bantuan banjir; PAS Saran MB Ambil Tindakan Undang-undang

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar negeri Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said disarankan mengambil tindakan undang-undang terhadap ‘Pakatan Rakyat Election News’ yang menuduh beliau menggelapkan atau ‘songlap’ bantuan banjir.

Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, sekiranya Ahmad Said merasakan pihak tersebut berbohong, tindakan keras mestilah diambil.

“kami (PAS) bimbang juga dengan tuduhan seumpama ini dan kami mengharapkan tuduhan seumpama ini tidak sewajarnya berlaku tetapi kemungkinan ada asas yang perlu dinilai,

 “bahkan jika dia bohong,  sepatutnya Menteri Besar memberi respon yang agak keras untuk menyaman pihak media yang dikatakan menuduh beliau,”ujarnya.

Ustaz Mohd Nor berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran Gerak Kerja Penerangan Peringkat Kawasan Kuala Terengganu di Kualai Ibai dekat sini semalam, 10 Januari.

Beliau yang juga ADUN Bukit Payong berkata demikian ketika memberi respon terhadap pendedahan yang dibuat oleh Ahmad Said sendiri, disiarkan 8  Januari lalu.

ADUN Chukai itu melahirkan kekecewaan, kerana beliau dituduh mengelapkan bantuan banjir di Kemaman pada bulan lalu.

Sehubungan itu, PAS juga menggesa kerajaan negeri mendedahkan jumlah sebenar bantuan-bantuan yang diberikan samada oleh pihak istana atau oleh kerajaan negeri.

Selain ia merupakan satu ketelusan pentadbiran kerajaan, menurut Ustaz Mohd Nor, ia juga bagi mengelakkan sebarang salah faham dan syak wasangka oleh semua pihak.

“(hendaklah didedahkan) berapakah kos bantuan yang hendak disalurkan daripada pihak istana kepada mangsa banjir…….. berapakah duit istana? Berapakah duit kerajaan negeri?

“dan berapa banyakah bantuan ini diberikan kepada mangsa banjir, supaya mangsa banjir sedar saluran bantuan yang disampaikan kepada mereka tepat, mengikut kos yang telah ditetapkan oleh pihak istana sendiri,”tegasnya.

Ulasan