MIBG Ma’ahad Darul Quran Rayu Sumbangan Berterusan

mdq4KUALA TERENGGANU – Majlis Ibu Bapa dan Guru (MIBG) Ma’ahad Darul Quran (MDQ), Rusila, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang pada Majlis Makan Malam Bersama Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Pengarah Makan Malam, Abdul Hadi Mohamad berkata, majlis tersebut dianjurkan bagi membantu pihak MDQ mengutip Dana Pembangunan untuk membina semula asrama putera yang terbakar tidak berapa lama dulu.


“Alhamdulillah, syukur kepada Allah sudah beberapa hari (lalu) Majlis Ibubapa Maahad Darul Quran telah menganjurkan Majlis makan malam bersama Presiden PAS bagi mengumpul dana pembangunan Aspura,

“(saya ucap) terima kasih kepada penderma-penderma yang menyertai kami pada malam tersebut,”ujarnya ketika ditemui.

Menurutnya, pembinaan asrama tersebut perlu disiapkan dengan segera memandangkan para pelajar kini tinggal di asrama sementara yang tidak mempunyai kelengkapan mencukupi.

“Sebagaimana sudah kita maklum bahawa pada tahun lalu, berlakunya kebakaran yang menyebabkan seluruh asrama pelajar lelaki hangus,

“seramai 90 orang penghuninya terjejas dan sehingga terpaksa menduduki bangunan asrama sementara,”jelasnya.

Abdul Hadi [Gambar kiri; paling kanan] berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.40 pagi 5 Februari 2013, asrama di blok B yang dibina sejak penubuhan MDQ dijilat api, menyebabkan para pelajarnya tinggal sehelai sepinggang.

Katanya, api marak dengan cepat membakar bangunan kayu yang sudah berusia 28 tahun itu, menyebabkan para pelajar yang berada di dalam kelas pengajian tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka.
Sehubungan itu, beliau ingin megambil kesempatan untuk merayu kepada semua muslimin dan muslimat agar dapat menghulurkan sumbangan derma secara berterusan.
“mengambil kesempatan ini saya sebagai ahli MIBG Maahad Darul Quran merayu kepada semua pihak yang prihatin meneruskan sumbangan, sumbangan boleh disalurkan terus kepada akaun pembangunan tersebut melalui Bank Islam Malaysia Berhad No. Akaun 13-017-02-049784-0,”ujarnya

Ulasan