Kezaliman Ada Tempoh Hayatnya

SETIU – “Seorang Guru Besar bernama Cikgu Rashid yang dituduh pro Pakatan Rakyat telah ditukarkan dalam tempoh 24 jam dari Kedah ke Johor, meninggalkan anak-anak yang masih kecil dan isteri yang sarat mengandung.



“Desakan kos hidup untuk menampung kos ulang-alik dari Johor ke Kedah menyebabkan Cikgu Rashid terpaksa menumpang tinggal di sebuah bilik kosong di sekolah tersebut.

“Sangat menyedihkan bila isterinya yang sampai masa nak bersalin terpaksa memandu sendiri kereta dalam keadaan kesakitan ke hospital untuk melahirkan anak.

“Kerana dendam, Pengarah Pendidikan Negeri sanggup menjadi pak turut orang politik dengan melempiaskan dendam kepada kakitangan sendiri. Memisahkan anak-anak dari kasih sayang seorang ayah, isteri dengan suami.”

Demikian antara kisah sedih yang diungkapkan Cikgu Normala Sudirman, Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) merangkap Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat ketika menyampaikan Ceramah Isu Semasa di Dataran PGU Pekan Jabi, Rabu lepas.

“Di mana Menteri Pendidikan yang boleh membiarkan Pengarah Pendidikan Negeri bertindak sesuka hati seolah-olah tanpa kawalan? Semakin warga pendidik ditekan, semakin mereka akan bangkit untuk menuntut hak mereka.” Sambung Cikgu Mala lagi.

“Suami saya sendiri, Cikgu Maarof turut menerima arahan pertukaran 24 jam dari Segamat ke Tanjung Pengelih sejauh 500 km selepas saya bertanding sebagai calon PRK Tenang. Pukul 3 pagi kena keluar dari rumah untuk ke sekolah.

“Sedangkan ketika nak bertanding, saya sudah letak jawatan elok-elok. Semasa berkhidmat, kita berkhidmat dengan sebaiknya mendidik anak bangsa. Bila nak bertanding, kita tinggalkan perkhidmatan dengan terhormat. Sebab apa nak dendam?”

“Walaupun kezaliman demi kezaliman, kebangkitan mula kelihatan. Johor bukan lagi Darul Umno. Sekarang telah ada 18 kerusi Pakatan Rakyat di Johor.” Tegas Cikgu Mala.

Turut menyampaikan ceramah pada malam tersebut ialah Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani dan Dr Azman Ibrahim.

Ulasan