Sultan Mizan Minta Terengganu Tumpu Prinsip Telus, Tadbir Urus Baik

KKUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin meminta Terengganu menekankan kepentingan dasar prinsip tadbir urus baik dalam semua dimensi pengurusan, pematuhan peraturan undang-undang serta ketelusan maklumat sebagai agenda utama kerajaan negeri.


Baginda bertitah sebagai negeri menuju ke arah pembangunan dan berdaya saing, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said perlu menambahbaik prosedur kerja dan mengurang karenah birokrasi untuk memperkaya pengurusan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Ini termasuklah nilai integriti dan akauntabiliti yang sedia wujud dalam kepimpinan negeri ini dan Beta harap sistem ini terus diamalkan dan ditingkatkan,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Sidang Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di Wisma Darul Iman di sini Ahad.
Baginda juga bertitah supaya suara rakyat diutamakan dalam memacu kemajuan negeri agar selari dengan slogan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

“Rakyat merupakan elemen penting pembangunan malah kemajuan yang dikecapi tertakluk kepada kesepaduan rakyat. Sekiranya jika tiada persefahaman, kerjasama dan perpaduan di antara kerajaan dan rakyat negeri ini, pembangunan yang nikmati selama ini akan terbatas,” titah baginda.

Justeru itu, Sultan Mizan meminta kerajaan negeri memberi penekanan lebih dalam mengenal pasti strategi, kelemahan, peluang dan halangan khususnya dari aspek urus tadbir ekonomi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Dalam perkembangan lain, Tuanku Mizan meminta Kerajaan Persekutuan menambah peruntukan kepada Terengganu sebanyak RM50 juta bagi menggantikan paip-paip pecah dan bermasalah secara berkala untuk mengurangkan kadar kehilangan air tidak terakaun supaya rakyat dapat menikmati bekalan air bersih.

“Beta bersyukur kerana Syarikat Air Terengganu (SATU) berusaha menurunkan kadar kehilangan air tidak terakaun sekurang-kurangnya 30 peratus dalam tempoh 5 tahun akan datang wajar diberi pujian,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Mizan turut berpuas hati dengan hasil pelaksanaan program pembangunan yang menyaksikan ekonomi Terengganu berkembang pada tahap positif selain berjaya menarik ramai pelabur dalam negara dan asing dengan projek pelaburan bernilai berbilion ringgit.

“Beta puas hati dengan pertumbuhan ekonomi negeri yang berdaya tahan pada 2013 telah memberi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri sebanyak RM20.2 bilion.

“Dengan pengekalan kukuh melalui asas ekonomi domestik dan pelaburan swasta serta pasaran tenaga kerja yang stabil, pertumbuhan ekonomi negeri dijangka terus positif tahun ini,” titah baginda.
sidang dun 1 penggal kedua1
Antara projek pelaburan nilai berimpak tinggi itu ialah pembinaan loji bersepadu bio-metionina dan tiokimia pertama di dunia oleh pelabur CheilJedang (CJ) dari Korea Selatan dan pelabur Arkema dari Perancis di Taman Bio Polimer di Kerteh yang merupakan di bawah kendalian pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Pelabur dari Amerika Syarikat, Cevo Inc pula dijangka memberi komitmen pelaburan sebanyak RM1.65 bilion untuk membangunkan loji pembuatan isobutanol dan biojisim selulosa.

Pembangunan fizikal dalam Bandaraya Kuala Terengganu, pembinaan ‘drawbridge’, menaik taraf semua jalan raya utama negeri kepada empat lorong, pembangunan kawasan Bandar Baharu Bukit Besar dan daerah baharu Kuala Nerus adalah antara projek yang dipuji Sultan Mizan dalam usaha kerajaan negeri menyelesaikan masalah rakyat seperti perumahan, infrastruktur dan kemudahan asas lain.

“Beta juga gembira apabila bandar raya Kuala Terenggganu mula meyaingi bandar raya maju di negara ini dengan adanya pembangunan Muara Selatan dan Muara Utara serta mengukuhkan imej Kuala Terengganu sebagai ‘Bandar Raya Warisan Pesisir Air’,” titah baginda.

Sultan Terengganu turut menyarankan kerajaan negeri supaya memberi fokus berterusan terhadap sektor industri kecil dan sederhana (IKS), kesihatan awam, industri pelancongan terutama pembangunan Tasik Kenyir, pembinaan rumah mampu milik, sektor pertanian yang lebih komersil dan isu kemiskinan dalam kalangan rakyat Terengganu.

“Beta berpuas hati dengan berkat usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri di mana 31,120 rakyat negeri ini telah terkeluar daripada senarai Pendapatan Garis Kemiskinan berdasarkan data dikumpul dan disahkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri pada 12 Mac tahun lepas,” titah baginda.- BERNAMA

Ulasan