Pertandingan Wau; Pemuda PAS Harap Seni Budayanya Kekal

collectible_wau bulan_waukite_wb08KUALA TERENGGANU – Wau bulan adalah satu nama yang tidak asing lagi kepada masyarakat Malaysia terutama kaum Melayu dan ianya adalah salah satu daripada kebudayaan dan kesenian rakyat Malaysia.
Permainan ini sangat diminati pada suatu masa dahulu, terutamanya bagi mereka yang berkerja sebagai pesawah yang menunggu musim hujan sebelum memulakan semula tanaman padi mereka suatu ketika dahulu.

Malah, permainan wau ini bukan sahaja tertumpu kepada golongan pesawah, ianya turut disertai oleh golongan nelayan, peniaga dan hampir kesemua lapisan masyarakat sekeliling pada waktu itu.
Ketika musim kering dan berangin kencang seperti sekarang ini, ia menjadikannya waktu yang sangat sesuai  bagi melangsungkan pertandingan ataupun pesta wau terutama bagi penduduk di sekitar pantai timur.
Seni budaya turun temurun ini masih dipertahankan oleh golongan tua yang memperturunkan kemahiran cara membuat wau, kemahiran menaikkan wau dan sebagainya yang berkaitan kepada golongan muda.
Mengambil langkah demi untuk mempertahankan seni khazanah melayu ini maka, Pemuda PAS Dun Bukit Payong telah mengadakan Pertandingan Wau Bulan Tegak di Kampung Surau Haji Mat Zin baru-baru ini.
Ianya bersempena Program Cakna Wakil Rakyat iaitu satu program yang dibuat bagi mempereratkan lagi hubungan antara wakil rakyat dan pengurusan PAS di cawangan-cawangan di Dun Bukit Payong dengan penduduk setempat.
Menurut Ketua Penyelaras Pemuda PAS Dun Bukit Payong, Ustaz Zakaria Ismail, pertandingan ini adalah salah satu cara Pemuda PAS membantu mengekalkan keindahan seni budaya agar tidak luput ditelan zaman.
Tambah beliau lagi, bukan dari aspek kesenian sahaja, pertandingan ini juga sekaligus merapatkan lagi hubungan sesama penduduk terutama pemuda selari dengan tema pertandingan iaitu Pemuda Penggerak Perubahan.
Sebanyak lebih 360 buah wau disenaraikan dalam pertandingan itu bagi merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM 1200. Untuk mengetahui bagaimana pemenang ditentukan, pertandingan ini dimainkan berdasarkan wau yang paling tegak naiknya dengan diukur menggunakan kayu pancang serta pembaris beberapa kali dalam jangka masa yang telah ditetapkan.
Daripada bacaan-bacaan itu, perserta akan memilih bacaan tertinggi untuk dibandingkan dengan bacaan peserta-peserta lain.Dalam pertandingan ini juga, tali tidak dibolehkan dipanjangkan atau dipendekkan sesuka hati oleh peserta ketika membuat bacaan dan pengadil telah menandakannya bagi menyeragamkan panjang tali.
Dengan meletakkan busur bertali di leher wau bulan itu, maka bunyi wau akan dihasilkan akibat geseran tali busur dengan angin yang mengujakan peserta dan penonton sekaligus memberikan lebih kemeriahan pertandingan ini.
Pertandingan ini telah dirasmikan oleh wakil rakyat Dun Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah manakala majlis penutupan serta penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ustaz Zakaria Ismail.

Ulasan