Kesihatan Presiden PAS Semakin Baik

Setiausaha Politik Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keadaan Presiden PAS Datuk Seri Tua Guru Abdul Hadi Awang semakin baik dan beliau sudah boleh duduk diatas kerusi dan bercakap.

“Alhamdulillah TGHH sudah semakin baik keadaan kesihatan beliau. Beliau sudah boleh duduk di atas kerusi dan bercakap.
“Walaupun begitu beliau masih perlu berehat untuk menpercepatkan proses sembuh,”ujar Dr Samsuri dalam satu kenyataan ringkas yang dihantar pada Sabtu 31 Mei jam 6.00 petang waktu Istanbul bersamaan jam 11 malam waktu Malaysia.
Dalam masa yang sama, kata Dr Samsuri, pihak doktor pakar juga menasihatkan supaya beliau tidak menerima pelawat dalam tempoh dua hari ini untuk mengelakkan sebarang jangkitan baru.
“Pihak kami memohon berbanyak maaf sekiranya permintaan ini menyusahkan rakan taulan, sahabat seperjuangan yang berhajat atau yang sudah berada di Istanbul untuk menziarahi beliau,”jelas Dr Samsuri.
Pada Jumaat, 30 Mei, Ustaz Abdul Hadi dimaklumkan oleh anaknya Ustaz Muhammad Khalil telah dimasukkan ke hospital setelah mengadu sesak nafas, semasa lawatan ke Istanbul, Turki.
“Beliau dimasukkan ke hospital selepas mengadu sesak nafas dan sekarang keadaan beliau stabil dan sedang berehat.
“Mohon doa semua umat Islam agar beliau pulih dan dapat terus memimpin ummah,” katanya.
Portal berita antarabangsa Worldbulletin melaporkan, Ustaz Hadi berada di Istanbul untuk mengambil bahagian dalam Kongres ke-23 Kesatuan Antarabangsa Komuniti Muslim dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Sosial Ekonomi dan (ESAM).
Beliau masih di bawah pemerhatian para doktor pakar di hospital Medipol di Istanbul, di mana beliau adalah dalam penjagaan rapi.

Ulasan