Pengunjung Mahu Keunikan Pasar Payang Dikekalkan

Oleh Kamaliza Kamaruddin
PENARIK BECAKUALA TERENGGANU – Pasar Besar Kedai Payang di sini, yang dilanda pelbagai kontroversi berhubung cadangan pembangunan semula, terus menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara sepanjang musim cuti persekolahan ini.

Tinjauan Bernama mendapati jalan menuju ke pasar itu sesak teruk kira-kira satu kilometer ekoran limpahan pengunjung yang mahu mendapatkan pelbagai barangan berkualiti pada harga berpatutan.
Seorang anak tempatan yang kini bermastautin di Johor Baharu, Abdul Razak Embong, 41, berkata sebagai lokasi pelancongan yang menjadi identiti Terengganu selain nadi ekonomi masyarakat setempat, pasar itu perlu dikekalkan dengan beberapa penambahbaikan.
“Memang pasar ini agak sempit, panas dan tidak selesa…tapi saya fikir pihak berkuasa boleh membuat beberapa perubahan tanpa perlu merobohkannya untuk tujuan pembangunan semula.
“Kalau kita lihat, orang ramai datang ke sini kerana barangannya yang murah berbanding di tempat lain, jadi masalah tidak selesa itu sudah jatuh nombor dua, yang penting harganya murah dan produknya berkualiti,” katanya kepada Bernama.
Selain menempatkan barangan basah seperti daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan, pasar itu turut menjadi tumpuan pelancong kerana menawarkan jualan batik, songket dan sutera berkualiti tinggi dengan harga sekitar RM280 hingga RM350.
Malah, produk tembaga dan kraftangan identiti Terengganu banyak dijual di pasar itu yang menjadi buruan pelancong untuk dijadikan ole-ole tanda kenangan apabila pulang dari negeri Penyu itu.
Seorang kakitangan swasta, Faridah Jalal, 53, berkata keunikan Pasar Payang terletak pada suasananya yang hingar-bingar dan sentiasa sesak.
“Ramai orang dari luar Terengganu sanggup datang ke sini semata-mata ingin mendapatkan barangan pada harga yang murah termasuk keperluan dapur seperti peralatan memasak tradisional dan rempah ratus hidangan tradisi Terengganu.
“Andai kata pasar ini dirobohkan dan dibina baharu dengan lebih moden, saya tidak tahu di mana istimewanya Pasar Payang ketika itu, malah mungkin harga barangannya juga akan naik seiring keselesaan yang dikecapi pengunjung,” katanya.
Cadangan pembangunan semula Pasar Payang dibuat susulan struktur asasnya di bahagian barangan basah sudah tidak selamat selain ingin memberi imej segar terhadap pasar itu yang menjadi lokasi wajib pelancong ke Terengganu.
Bagaimanapun cadangan itu mendapat pelbagai respons pelbagai pihak dan liputan luas media kerana sebarang projek pembangunan melibatkan pasar berkenaan pasti memberi impak yang besar terhadap sektor ekonomi, khususnya peniaga Melayu di pusat bandar itu.
Baru-baru ini, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dalam lawatannya ke pasar itu memberi tempoh sebulan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk menentukan ‘nasib’ pasar itu.
Menteri Besar mahu MBKT mendengar pelbagai cadangan sama ada mahu meneruskan projek pembangunan semula itu atau membatalkannya hasil penilaian dan rumusan yang dibuat kelak.- BERNAMA

Ulasan