PAS Rakam Takziah Kepada Keluarga Mangsa Tragedi MH17



MARANG – PAS menyokong penuh sebarang usaha tindakan kerajaan Malaysia menuntut keadilan ke atas penumpang dan anak kapal MH17 yang ditembak jatuh di sempadan Ukraine-Rusia, pada 17 Julai lalu.



Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyokong sebarang tindakan yang diambil oleh Malaysia bagi menuntut keadilan terhadap tragedi MH17 demi maruah negara.



Kata beliau, kerajaan Malaysia perlu mengambil tindakan sewajarnya melalui saluran pertubuhan-pertubuhan antarabangsa dan bukan sekadar protes bantahan.



“PAS menyokong tindakan (kenuntut keadilan) ini dengan sepenuhnya. Ini perkara kemanusiaan dan kenegaraan dan demi maruah negara kita.



“Kita mengharapkan kerajaan kita dapat mengambil tindakan yang sewajarnya melalui saluran antarabangsa. Melalui Pertubuhan-pertubuhan Antarabangsa dan bukan sahaja melalui protes atau tindakan membantah.



“Dalam masa yang sama hendaklah melalui tindakan undang-undang yang sewajarnya, mengikut lunas-lunas undang-undang antarabangsa yang ada…itu sekurang-kurangnya,” tegas Presiden PAS.



Beliau berkata demikian di kediamannya, pada Sabtu 19 Julai, ketika mengulas tragedi yang menimpa pesawat Penerbangan Malaysia, yang ditembak jatuh, sewaktu perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.



Ustaz Abdul Hadi turut menyelar tidak pihak yang tidak bertanggungjawab menembak pesawat awam MH17 itu kerana disifatkan mencabuli undang-undang antarabangsa.



Justeru itu, katanya PAS merakamkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa tragedi MH17 serta melahirkan rasa sangat sedih dan dukacita.



“Pesawat (MH17) ini berada di laluan antarabangsa. Maka, tindakan menyerang pesawat awam itu seperti yang dilaporkan oleh media ini adalah mencabuli undang-undang antarabangsa.



“Kita (PAS) merasa sangat sedih dan sangat dukacita dan kita mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa yang terlibat, dan mengharapkan rahmat dari Allah SWT.



“Semoga (roh) diletakkan di tempat yang mulia disisi Allah SWT, di alam barzakh di hari kiamat. Itu (tragedi) semua berada di dalam kekuasaan Allah SWT dan dalam masa yang sama kita yang hidup ini mestilah bertindak dan tidak boleh membiarkan perkara itu berlaku dengan percuma,” ujarnya.



Ketika menjawab persoalan ‘misteri’ kehilangan pesawat MH370 empat bulan lalu, Dato’ Seri Abdul Hadi menegaskan siasatan mesti diteruskan sekali pun mengambil masa yang lama.



Katanya, siasatan terhadap kehilangan kapal terbang MAS mesti diteruskan sehingga terbukti punca kemalangan tersebut berlaku empat bulan yang lalu.



“Masalah kehilangan MH370 sejak empat bulan lalu itu perlu terus disiasat walau pun mengambil masa yang lama untuk selesai.



“Disiasat lagi hingga terbukti sama ada dia (MH370) kemalangan berlaku kerana adanya sabotaj, adanya tindakan penyerang, tindakan melampau ke atas pesawat kita atau sebagainya mesti adanya bukti dan mesti dicari walau pun memakan masa lama,” jelasnya.



Tambah Ustaz Abdul Hadi, kerajaan perlu mengambil pengajaran dan iktibar terhadap kedua-dua tragedi malang tersebut yang menimpa negara ini.

Ulasan