KUALA NERUS – Yayasan Amal Malaysia (Amal Malaysia) menjangkakan akan menyertai operasi bantuan awal ke Gaza sebelum hari raya Idulfitri ini.
Presidennya, Hussin Ismail berkata Amal Malaysia tidak pernah selesai dengan isu dan sentiasa bersiap sedia bagi mendepani isu-isu tersebut.
“Kita (Amal Malaysia) tidak pernah selesai dengan isu dan bersiap sedia mendepani isu-isu yang berlaku baik di dalam mahu pun di luar Negara.
“Yayasan Amal Malaysia dijangka akan memulakan operasi di Gaza untuk misi bantuan kemanusiaan awalnya sebelum raya (Idulfitri) ini akan sampai (ke Gaza), Insya’Allah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pejabat Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu dan Majlis Berbuka Puasa di Jalan Gong Badak, Kuala Terengganu pada Jumaat 18 Julai.
Bahkan, katanya Amal Malaysia perlu meletakkan diri dalam keadaan siap siaga bagi operasi kebajikan serta bantuan kemanusiaan.
Menurutnya, sejak ditubuhkan lebih 10 tahun lalu operasi Amal Malaysia telah melangkaui rantau Asean hingga ke seluruh pelusuk dunia.
Katanya, nama Amal Malaysia kini setanding dengan mana-mana Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang telah sedia ada dipersada dunia hari ini.
“Kita (Amal Malaysia) kena letak dalam keadaan siap siaga untuk (operasi) bantuan kebajikan, bencana dan kemanusiaan.
“Operasi Amal Malaysia telah bergerak di rantau Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, rantau Asean, Jepun, Sudan hingga ke Kenya dan Somalia. Yayasan Amal Malaysia juga agak lebih tersusun sekarang ini,” jelasnya di hadapan 50 orang hadirin.
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Hussin turut mengingatkan agar kerja-kerja organisasi yang besar seperti Amal Malaysia ini perlu lebih tersusun sekarang.
Ini kerana, katanya dana yang diperlukan bagi menguruskan Pusat Dakwah Serantau (PDS) di bawah Yayasan Amal Malaysia itu mencecah RM1 juta setahun.
“Di bawah Yayasan Amal Malaysia sekarang kita ada Pusat Dakwah Serantau (PDS) yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu dan tahun ini adalah tahun ketiga PDS beroperasi.
“Dana untuk PDS sahaja kita perlu RM1 juta setahun dan Amal Malaysia mensasarkan untuk melatih seramai 360 orang daei (pendakwah) setahun bagi rantau ini,” tegasnya.
Hadir sama sebagai tetamu khas pada majlis tersebut wakil Palestin, Dr Muhammed Naji’ dan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia cawangan Terengganu, Dr Suhazeli Abdullah.
Ulasan