HULU TERENGGANU – Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam bertaraf universiti milik persendirian, ianya diasaskan oleh Mantan Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Almarhum Tuan Guru Dato’ Harun bin Taib.
KUDQI yang terletak di Kampung Kubang Lembek, Manir, diselia oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu melalui Dewan Ulamak PAS Terengganu.
Menurut Pegawai Hal Ehwal Akademik KUDQI, Ustaz Mohd Soud bin Said [Gambar kanan - Paling Kanan] , antara inisiatif institut pengajian ini ditubuhkan adalah untuk melahirkan kader- kader yang berilmu dan beramal soleh sesuai dengan tuntutan islam.
“penubuhan ini juga adalah untuk melahirkan pejuang-pejuang bagi menyambung perjuangan Rasulullah (SAW) dalam membentuk sebuah masyarakat,
“yang berperanan menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran,”ujarnya ketika ditemui
Tambahnya lagi, konsep pembelajaran di KUDQI adalah bersistematik sepertimana kolej-kolej swasta yang lain.
Katanya, kesemua maddah (subjek) dan kurikulum diambil terus dari Al-Azhar semenjak zaman penubuhannya bahkan masa pengajian dan tempoh cuti pengajian juga bertepatan dengan yang diamalkan di Al- Azhar. Selain itu, bahasa pengantarnya juga adalah bahasa Arab.
” pensyarah-pensyarah di KUDQI adalah dikalangan mereka yang mantap ilmu kitab dan haraki. Setakat ini, dua fakulti sahaja yang ditawarkan kepada pelajar iaitu fakulti Syariah Wal-Qanun qismu syariah islamiyyah dan fakulti usuluddin,”jelasnya
Sehubungan itu, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) KUDQI, Syed Mohd Zuhairi bin Tuan Kasmi menyifatkan, kampus KUDQI adalah satu institusi perdagangan ilmu-ilmu Islam yang sesuai dengan PAS sebagai sebuah parti politik dan gerakan Islam.
Hal yang demikian adalah kerana, kata beliau, majoriti Pensyarah-pensyarah di KUDQI terlibat secara langsung dengan gerakan dakwah dan politik.
“sebahagiannya merupakan pemimpin PAS, contohnya ustaz Khalil Abdul Hadi, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Ustaz Kamaruzzaman bin Abdullah yang merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu,”ujarnya.
Selain itu, sebahagian besar kakitangan dan mahasiswa KUDQI adalah mereka yang memberi sumbangan dalam gerak kerja dakwah.
Mereka dilatih untuk menyampaikan ilmu-ilmu yang dipelajari ke tengah-tengah masyarakat, memberikan ceramah dan kuliah serta melakukan kerja-kerja amal kebajikan.
“KUDQI merupakan sebuah institusi yang memberi ruang seluas-luasnya kepada mahasiswa untuk melibatkan diri di medan amal Islami dan juga bebas untuk menyertai mana-mana program politik dan dakwah tanpa perlu rasa takut.
“Mahasiswa KUDQI juga ditarbiyyah secara langsung, oleh sebab itu, tidak berlakulah sebarang taaddud (berbilang) jamaah di KUDQI,”tambahnya
Namun begitu, Kolej ini juga terbuka kepada semua pihak, tanpa mengira sebarang kecenderungan politik atau latar belakang serta status sosioekonomi.
Mereka yang ingin dan berhasrat melanjutkan pelajaran mendalami ilmu-ilmu Islam ke peringkat lebih tinggi, adalah sangat dialu-alukan bagi mengutip buah-buah ‘hikmah’ dari para pendidiknya yang istiqamah.
“kerana kita sedar bahawa sesiapa yang dapat menguasai ilmu, dia akan dapat menguasai dunia. Walaupun begitu, KUDQI lebih menekankan keseimbangan di antara kepentingan duniawi dan ukhrawi, Sesuai dengan moto Beriman,Berilmu dan beramal,”tambahnya lagi.
Ulasan