Pemuda PAS DUN Jabi mengorak satu lagi langkah kehadapan dalam mengatur gerak langkah mendekati masyarakat khususnya anak-anak muda dengan wujudnya sebuah litar motorcross yang dibina sendiri dengan memanfaatkan kepakaran dan jentera milik Jawatankuasa Pemuda DUN .
Litar sepanjang kira-kira 1,000 meter yang dibina di atas tapak seluas 2 ekar di Kampung Gong Ubi Keling, Jabi menambahkan ‘senjata’ pemuda Dun Jabi dalam perjuangan mendekati anak-anak muda dan mengajak mereka bersama Islam.
Bermula dari pagi Jumaat kelmarin, 26 September 2014, bunyi deruan enjin motocross dari 25 peserta memecah kesunyian Kampung Gong Ubi Keling.
Ternyata Kejohanan Motorcross Tertutup Pemuda Jabi yang julung kali diadakan ini berjaya menarik penyertaan ramai peminat sukan permotoran termasuk peserta profesional yang pernah menyertai kejohanan peringkat kebangsaan.
Masyarakat sekitar juga tidak ketinggalan memenuhi kawasan sekitar litar bagi menyaksikan aksi hebat para peserta terutamanya aksi lompatan yang memerlukan kemahiran tinggi para pelumba.
Pengarah Majlis Tindakan Dun Jabi, Dr Azman Ibrahim ketika berucap menutup kejohanan pada petangnya menegaskan bahawa Islam adalah agama yang meraikan fitrah dan minat manusia.
“Cuma Islam datang untuk memandu dan mengawal supaya minat ini selari serta tidak bersalahan dengan syariat.
“Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w juga menitik beratkan 3 kemahiran utama untuk anak-anak mereka iaitu berenang, memanah dan menunggang kuda. Itu cerita dizaman sahabat nabi s.a.w.
“Kalau dizaman kita kemahiran memanah boleh disesuaikan dengan kemahiran menembak manakala kemahiran menunggang kuda boleh disesuaikan dengan menunggang motosikal,”ujarnya
Beliau menegaskan lagi, Islam datang bukan untuk kumpulkan semua minat manusia dan buang ke dalam tong sampah. Yang tinggal akhirnya hanya sembahyang, puasa, zakat dan haji!
Sehubungan itu, Ketua Pemuda PAS Dun Jabi, Rafie Long Hasan yang ditemui menyuarakan harapan dan keyakinan, apabila melihat kepada kehangatan sambutan dari para peserta dan masyarakat sekeliling, acara ini mampu dijadikan acara tetap dalam kalendar Pemuda PAS Jabi.
Ulasan