Perwakilan : Ucapan Dasar Presiden Mantap dan Bertenaga


Ucapan dasar Presiden pada Muktamar PAS ke 60 yang diadakan di Parit Haji Salleh Ros hari ini dilihat sebagai kelangsungan kepada kesepakatan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) yang telah dipersetujui sejak muktamar meluluskannya dahulu.
Ucapan yang diberi tajuk “Terus Beristiqamah” itu telah disampaikan oleh Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di hadapan hampir kira-kira 2 ribu ahli PAS yan terdiri daripada Ajk Pas Pusat, perwakilan dan pemerhati.


Tiga aspek yang ditekankan dalam ucapan dasar yang telah dibacakan selama kira-kira 70 minit itu, iaitu hala tuju pemantapan parti dimana istiqamah dalam dasar perjuangan PAS, rapatkan ukhuwwah, perbaiki akhlak, tarbiyyah dan dakwah.PAS dalam negara, istiqmah bagi melakukan perubahan kearah negara yang lebih baik, membetulkan salah faham terhadap Islam, menyedarkan bahawa Islam adalah cara hidup, menjaga hubungan antara kaum dan PAS di luar negara pula, akan memainkan peranan yang lebih pro-aktif dalam urusan dunia antara bangsa yang lebih aman dan adil.
_DSC0218 - CopyBeberapa perwakilan yang ditemui selepas ucapan dasar, bersetuju dengan ucapan dasar yang bagi mereka, adalah penekanan bahawa PAS sememangnya istiqamah sejak dahulu lagi bersama PR dalam menentang kezaliman.
Bendahari Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) Shukrimun Shamsudin berpendapat bahawa ucapan dasar tahun ini adalah ucapan yang paling bertenaga berbanding dengan ucapan-ucapan yang lalu.
Menurut beliau lagi, ucapan itu penuh dengan nasihat-nasihat dan juga penegasan perihal perjuangan dalam Islam yang sepatutnya diambil sebagai peringatan kepada pihak yang dilihat sebagai ingin berlawanan arus dengan presiden.
Seterusnya beliau menggesa agar setiap perlakuan atau tindak tanduk ahli, mestilah berpaksikan al-Quran dan sunnah agar sentiasa berada di atas landasan yang betul, sekaligus menutup ruang bagi musuh mengambil kesempatan.
Manakala perwakilan PAS Kawasan Dungun Ustaz Azman Shapawi Abd Rani pula beranggapan ucapan dasar presiden kali ini adalah ucapan yang mantap dan berani.
”Satu ucapan yang sangat mantap, tegas dan satu juga ucapan yang sangat berani mempertegaskan dasar yang dibawa oleh parti.
“Ucapan itu tadi telah memberikan isyarat kepada semua perwakilan itulah kehendak presiden dan parti.Dimana kita tidak boleh hendak buat agenda kita sendiri kerana parti ada hala tujunya,” tegas beliau.
Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Kesenian dan Sukan BPPNT, turut mengajak perwakilan agar meninggalkan sikap gopoh dalam perjuangan mencari kemenangan dan juga terpengaruh dengan janji-janji pihak luar.
Ahli-ahli PAS juga perlu menolak propaganda-propaganda yang disogokkan terutama dalam media sosial berkaitan PAS akan bergabung dengan Umno setelah penegasan presiden dalam ucapan dasarnya yang PAS tidak akan bersama dengan Umno.
Perwakilan Dewan Ulamak PAS Pusat Ustaz Suhaimi Daud pula, turut berkongsi pandangan yang sama iaitu ucapan dasar presiden adalah menepati ucaptama Dewan Ulamak Pas Pusat yang dibentangkan semalam di Kulai.
Penegasan ucapan dasar presiden itu, bagi beliau, adalah meliputi dalam kesemua isu yang ada pada masa ini.Dalam apa-apa isu dasar, Ustaz Suhaimi menasihatkan, PR sepatutnya duduk bersama dan berbincang sebelum mengumumkan sesuatu tindakan yang besar bagi menunjukkan kebersamaan.
Menjawab soalan berkenaan persepsi yang sedang berlegar yang cuba melibatkan PAS yang cuba menarik diri dari PR dan bergabung dengan Umno, beliau yakin dan percaya yang hal itu hanyalah fitnah yang ditimbulkan musuh.

Ulasan