KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) paling kanan dari Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut dukacita dengan ‘polisi’ kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu yang terus menyusahkan rakyat.
Mantan Pesuruhjaya PAS Terengganu itu berkata, tindakan jabatan dan agensi kerajaan umpamanya Yayasan Terengganu (YT) yang tidak memperakui tandatangan wakil-wakil rakyat pembangkang sebagai pengesahan permohonan yang diajukan oleh rakyat amat dikesali.
“Saya pernah mengalami sedikit masalah dengan pihak Yayasan Terengganu, apabila pelajar-pelajar dalam kawasan saya memohon bantuan. Dalam borang tersebut ditulis hendaklah mendapatkan tandatangan wakil rakyat dalam kawasan pelajar tersebut.
“Tapi bila saya tandatangani, pelajar bawa ke pejabat yayasan (YT) ditolak. Saya tidak dimaklumkan oleh pihak yayasan yang menyatakan bahawa wakil rakyat pembangkang tidak boleh tandatangan.
“Jika (kerajaan) dapat istiharkan senang…saya pun orang ramai dan pelajar-pelajar tidak ganggu rumah saya, dan saya lebih rehat.
“Masalahnya, itu menyusahkan rakyat dan adakah ini polisi bahawa tandatangan wakil rakyat pembangkang ini tidak diterima oleh pihak Yayasan Terengganu dan mengapa kerajaan tidak isytiharkan ini,” ujarnya dengan nada kesal.
Beliau berkata demikian pada Sidang DUN Rabu lalu, ketika meminta penjelasan ekoran soalan lisan yang dikemukakan oleh Adun Batu Rakit.
Bazlan Abdul Rahman meminta penjelasan mengenai polisi pinjaman Yayasan Terengganu yang disediakan bagi para warga Terengganu yang melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib ketika menjawab berkata, menjadi polisi kerajaan memberi “priority” (keutamaan) kepada wakil rakyatnya.
Namun, kata beliau, pihak kerajaan bersedia memberi tandatangan sokongan kepada semua rakyat yang berada di kawasan pembangkang.
“Memang kita (Barisan Nasional) beri ‘priority’ kepada wakil kerajaan yang memerintah. Kalau tak laku, tak mengapa…bahawa ke pejabat Exco, saya ‘sain’ (tandatangan) jangan risau dan saya tidak pernah menolak orang dalam Dun Wakaf Mempelam ke pejabat saya.
“Sama ada ia polisi atau tidak polisi tetapi ia juga diamalkan di Selangor Darul Ehsan dan Kelantan Darul Naim. Maknanya, polisi itu terpakai,” dakwanya.
Sehubungan itu, ADUN PAS Kawasan Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar turut mencelah agar kerajaan negeri memperbetulkan fakta tersebut kerana kerajaan PAS Kelantan tidak mendiskriminasikan wakil pembangkangnya.
“Berkenaan tandatangan (wakil rakyat) itu di Kelantan. Saya telah disahkan oleh pihak kerajaan di Kelantan sebelum ini bahawa di sana (Kelantan) diterima semua tandatangan oleh wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.
“Jadi fakta itu perlu diperbetulkan oleh pihak Exco (kerajaan negeri),” tegasnya ketika menyanggah jawapan Ghazali kepada Mohd Abdul Wahid.
Pada persidangan dewan yang lalu, persoalan tersebut turut dibangkitkan oleh Adun BN Jabi, Mohd Iskandar Jaafar yang mendakwa kerajaan PAS Kelantan juga tidak mengiktiraf tandatangan wakil rakyat pembangkang.
Ulasan