Kes Tanah Kampung Banggol Donas Sudah Empat Kali Dilapor Kepada SPRM


buletin-sprm2(1)KUALA TERENGGANU – Jawatankuasa Bertindak Kampung Banggol Donas (JBKBD) yang diiringi oleh beberapa buah Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain tampil buat kali keempatnya ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Terengganu.
Laporan dibuat kira-kira jam 11.00 pagi dan berakhir satu jam kemudian setelah keterangan pengadu diambil di pejabat SPRM Terengganu, Wisma Persekutuan pada 7 Oktober lalu.


Antara NGO terbabit Gerakan Anak Terengganu Insaf (Ganti), Pertubuhan Angkatan Belia Bersama Ulamak (Panglima), Jingga 13, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Yayasan Amal Malaysia (Amal Malaysia).
Pihak JBKBD bersama NGO-NGO tersebut turut menyerahkan memorandum bantahan kepada SPRM bagi mendesak satu siasatan dijalankan terhadap projek pembinaan jalan dan jambatan dari Kampung Jeram Tok Kong ke Bukit Guntung (Fasa I) dan dari Kampung Jeram ke Kampung Banggol Tuan Muda (Fasa II).
Laporan kali keempat ini susulan kepada tiga laporan terdahulu yang telah diserahkan kepada pihak SPRM bertarikh 12 Jun 2011 yang pertama, laporan kedua pada 31 Mei 2012 dan laporan ketiga oleh Jingga 13 pada 1 Januari 2013, tahun lalu.
Setiausaha JBKBD, Puan Rusni Hassan mendakwa laporan kepada SPRM itu berhubung dengan salahguna kuasa pihak terbabit yang menjurus kepada unsur rasuah.
“Dukacita dimaklumkan, pihak JBKBD telah dua kali kemukakan laporan kepada SPRM pada 12 Jun 2011 dan 31 Mei 2012, dan oleh NGO Jingga 13 pada 1 Januari 2013 berhubung salahguna kuasa pegawai di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Terengganu dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu.
“Sehingga laporan hari ini, kami (JBKBD) belum menerima apa-apa maklum balas dari pihak SPRM walau pun saya difahamkan SPRM sepatutnyaa kan memaklumkan kepada pelapor dalam tempoh enam bulan hasil penyiasatan untuk setiap aduan.
“Kami berharap dengan laporan kali keempat ini pihak SPRM akan bersedia untuk memaklumkan status laporan hari ini termasuk yang sebelumnya,” jelas beliau.
Beliau turut melahirkan rasa hairan seolah-olah pihak berkenaan “kebal” dari sebarang tindakan undang-undang meski pun tidak mengikut peraturan dan prosedur dalam pengambilan balik tanah tersebut.
Menurutnya, sejak tahun 2008 lagi pihak JBKBD telah menyuarakan bantahan jajaran yang melibatkan rumah kediaman penduduk di Kampung Banggol Donas.
Katanya, pelbagai cara diusahakan dengan menulis surat dan berunding dengan Pengarah JKR Terengganu, kerajaan negeri dan agensinya termasuk Suhakam dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak.
Puan Rusni mendakwa terdapat sebanyak 24 buah rumah terlibat di atas tanah geran milik, tanah warisan pegangan orang Melayu dan 18 keluarga bersepakat menubuhkan JBKBD.
“Pada 11 Mei 2011, kami (JBKBD) telah menyerahkan satu memorandum bantahan kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said ketika itu untuk meminta jasa baiknya mengubah jajaran yang melibatkan rumah-rumah kediaman.
“Pihak PTG Kuala Terengganu pula bertindak tanpa mematuhi Akta Pengambilan Tanah dengan menghantar notis 425 Kanun Tanah Negara pada 8 Oktober 2013, bagi tujuan menghalau penduduk Kampung Banggol Donas keluar dari tanah yang dimiliki secara sah,” jelasnya ketika ditemui di perkarangan pejabat SPRM tersebut.
Beliau menegaskan notis 425 itu hanya terpakai bagi menghalau mereka yang menceroboh dan menduduki tanah milik kerajaan secara ‘haram’.
Katanya, pihak JBKBD telah membawa kes tersebut ke mahkamah bagi menentukan keesahan notis 425 terhadap penduduk berkenaan.
“Kami yang terlibat telah merujuk kes ini ke mahkamah untuk menentukan keesahan notis 425 kepada pemilik tanah di Kampung Banggol Donas itu.
“Selagi proses perbicaraan (mahkamah) belum selesai, kami tetap duduk dan tidak akan berpindah dari tanah milik kami yang sah dari segi undang-undang,” tegasnya dengan bersemangat.
Keterangan dan soal siasat erhadap pengadu dibuat oleh Ketua Penolong Penguatkuasa SPRM Terengganu, Mohd Effendy Abdul Malik dan Pegawai Siasatannya, Mohd Fadzil.
Antara pimpinan parti yang hadir memberi sokongan moral kepada JBKBD di pejabat SPRM Terengganu iaitu Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Adun Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah, Timbalan Pengerusi DHPP Terengganu, Jefri Chua serta Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing.
Selain itu, Presiden Ganti, Ahmad Amzad Hashim, Sulaiman Ibrahim (Panglima), Aziadi (Jingga 13), Zahirin (Gamis) dan Abdul Majid dari Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu.

Ulasan