Sangat Pelik dan Hodoh Apabila Pemimpin Berbangga Dengan Arak


oktoberfestKUALA TERENGGANU – Perbuatan meminum arak bukan sahaja ‘haram’ hukumnya dalam agama Islam, bahkan ia dianggap sebagai ‘tabiat’ yang tidak baik oleh semua bangsa dan kaum di seluruh dunia.
Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim berkata, banyak kempen anti arak telah dibuat kerana ia memudaratkan sosio ekonomi manusia.


“Dalam isu arak. Perkara yang sama juga. Arak tak dianggap tabiat yang baik oleh semua kaum. Di mana-mana pun dalam dunia ada kempen anti arak.
“Di Malaysia yang dicatat pada tangga ke 10 oleh Word Health Organisation (WHO) sebagai pengguna arak pada tangga ke sepuluh terbesar di dunia pada tahun 2011, telah banyak dibuat pelbagai kempen anti dan kawalan arak termasuk oleh Selangor Chinese Assembly Hall,”ujarnya.
Beliau yang juga Presiden Gerakan Anak Terengganu Insaf (Ganti) berkata, adalah sangat pelik dan hodoh jika pemimpin masyarakat pula yang menunjukkan kepada rakyat, seolah-olah berbangga dengan aksinya meminum arak.
Beliau berkata, walaupun pemimpin bukan Islam tidak tertakluk dengan hokum halal dan haram, namun mereka terikat dengan nilai dan akhlak yang buruk dan baik.
Seseorang pemimpin, yang menentang suatu nilai baik, kata beliau, adalah mempamerkan suatu gaya hidup yang songsang.
elizabeth wong kinum arak
“Mereka mahu minum arak itu pilihan mereka sebagai bukan Islam yang tak tertakluk kepada hukum halal haram yang ada dalam Islam. Islam tak menyekat hak mereka.
“Kerana itu dibuat garis panduan. Garis Panduan yang digubal dengan penyertaan pemimpin- masyarakat bertujuan mengawal apa yang diterima sebagai ancaman kepada kehidupan bermasyarakat jika tak dikawal.
“Pemimpin akan dihormati jika terlibat dalam kempen kesedaran untuk berubah kepada gaya hidup yang sihat dan terlibat dalam penggubalan dasar yang mengawal gejala tidak sihat.
“Jika pemimpin dilihat bertindak berlawanan arah. Itu sudah kelihatan songsang,”tegas beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata demikian, dipercayai memberikan respon kepada dua pemimpin parti politik yang bergambar dan berbangga dengan arak sebagai menyambut pesta arak ‘October fest’ dan seorang pemimpin pembangkang yang mengkritik orang Melayu yang didakwa turut meminum arak.
Menurut beliau, para pemimpin bukan Islam perlu membezakan antara agama dan bangsa, kerana yang mengharamkan minum arak adalah agama Islam dan bukannya bangsa Melayu.
“Cuma yang jadi perbezaan besar dengan orang Islam (dan orang Melayu), perbuatan tersebut adalah dihukumkan haram dan satu dosa yang akan diadili di hari akhirat (bagi orang Islam dan bukan orang Melayu).
“Bukan sahaja kepada peminum arak (yang akan berdosa), tapi kepada mereka yang bersekongkol dalam menggalakkannya,”tambah beliau.

Ulasan