‘We Care’ Marang Anjur ‘Masak Dari Hati, Masak Dengan Iman’


IMG-20141029-WA0060Melalui masakan, ukhuwwah dan budaya dapat disatukan. Walaupun memasak tidak mengira jantina, sudah pasti kaum wanita tidak dapat lari dari tugas hakiki mempunyai kemahiran di dapur bagi menambat hati suami dan keluarga.
Tahniah diucapkan kepada NGO wanita, WeCare Marang yang gigih menjayakan program Hi-Tea bersama selebriti TV, Chef Amar di Terengganu Equestrian Resort (TER) pada 25 Oktober yang lepas. Selebriti yang dikenali dengan tagline “Masak dari hati, masak dengan iman” ini turut berkongsi cara memasak Nasi Kabsah kepada lebih 200 orang peserta yang hadir tersebut.


“Kita pilih Chef Amar pada program istimewa kali ini adalah kerana inspirasi tagline nya yang sesuai dengan objektif program ini. Kita mahu jadikan memasak itu sebagai ibadah dan mendidik kaum wanita menjadi isteri atau wanita solehah. ” ujar Pengerusi WeCare Marang, Puan Hajjah Raihani Ibrahim.
“Kita juga mahu membudayakan zikir dan selawat ke atas nabi ketika memasak. Dari masakan yang baik dapat menjinakkan hati ahli keluarga menjadi insan yang lebih baik. Barulah tidak sia-sia penat lelah kita memasak,” tambahnya lagi.
Sambutan yang agak memberangsangkan untuk program julung kali bersama chef ini amat mengujakan penganjur. Di tambah pula kerjasama baik daripada pihak pengurusan TER. Puan Raihani tidak putus-putus mengucapkan penghargaan kepada Dato’ Hamzah, Pengerusi TER dan para kakitangannya yang bertungkus-lumus membantu persiapan dan penganjuran program ini.
Selain demo masakan dan minum petang, turut diadakan cabutan bertuah. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Penasihat 1 dan 2 WeCare Marang iaitu Tuan Haji Norddin Abd Jalil dan Puan Hajah Zarani Othman.

Ulasan