Kita Umpama Satu Keluarga


Screenshot (422)MARANG – Musim tengkujuh mula melanda negeri di Pantai Timur. Daerah Marang antara yang teruk dilanda musibah ini. Walau tidak disangka-sangka akan ditimpa musibah ini, namun persiapan rapi oleh jentera PAS Kawasan Marang telah dibuat sejak awal.
Selain persiapan jentera yang melibatkan para petugas dari setiap dewan iaitu pemuda, muslimat, Unit Amal, Ameerah, Briged Muslimat dan pasukan perubatan, PAS Kawasan juga menyediakan bot dan pasukan 4×4 PASAK yang bersedia untuk turun pada bila-bila masa.


Para pemimpin PAS kawasan juga turun padang membantu dan memberi semangat kepada para mangsa banjir. Walaupun bantuan yang dihulurkan tidak seberapa, namun keprihatinan para pemimpin dan jentera PAS sedikit sebanyak membantu memudahkan urusan para mangsa, selain mengubat kesedihan mereka.
Ustaz Khalil Abd Hadi turut mengambil peluang berjumpa dengan para mangsa banjir dari DUN Ru Rendang yang ditempatkan di SK Rusila.
Beliau juga selaku wakil ayahndanya, Dato’ Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang yang merupakan Ahli Parlimen Marang, merangkap ADUN Ru Rendang. Beliau bergegas ke sana usai Kuliah Maghrib di Pusu Tiga. Beliau diiringi oleh Cikgu Daud Jusoh yag merupakan Ketua Cawangan Rusila.
Selain meninjau keadaan banjir dan di pusat pemindahan tersebut, beliau sempat menyampaikan sedikit motivasi buat para mangsa. Beliau banyak berpesan agar mereka sabar dengan ujian yang menimpa ini.
“Kita sebagai hamba, kena terima ujian ini daripada Allah dengan redha. Selain itu, jagalah keselamatan diri dan ahli keluarga kita sepanjang musibah ini. Kita di sini mungkin merasa susah sedikit, namun kita juga bersedih dengan saudara kita di Bukit Payong dan Kuala Terengganu yang menerima ujian yang lebih hebat lagi.”
“Walaupun kita tidak jangka banjir agak teruk kali ini, InsyaAllah pelbagai persiapan rapi dari pihak kita yang sentiasa bersiap siaga untuk turun membantu. Kita akan ambil tanggungjawab ini bersama. Kita umpama sebuah keluarga, tanpa mengira fahaman politik. Jentera kita akan memantau dari semasa ke semasa keadaan banjir ini,”ujar beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia.
Sebagai penutup, beliau juga mengingatkan bahawa jadikanlah musibah ini sebagai ujian dan peluang untuk diganjari pahala serta diampuni segala dosa-dosa.

Ulasan