KUALA NERUS – PAS Kawasan Kemaman yang pernah mengalami pengalaman pahit menghadapi bencana banjir tampil dengan bantuan dan sumbangan berupa barangan keperluan harian berjumlah RM20,000 kepada penduduk di Kuala Nerus.
Yang Dipertuanya, Ustaz Alias Abd Hamid berkata sumbangan ini untuk mangsa banjir di Kuala Nerus dengan rombongan seramai hampir 100 orang.
Katanya, sumbangan tersebut berupa bekalan makanan harian dapur serta pakaian yang bernilai RM20,000 untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di Kuala Nerus.
“Kita datang hari ini seramai 98 orang dan sumbangan berupa makanan, barangan dapur, pakaian. Sumbangan makanan lebih kurang 300 lebih paket. Beras sahaja 600 kampit lebih, kita kira tadi lebih kurang RM20,000 dibelanjakan.
“PAS Kemaman bersama dengan sahabat-sahabat kita di Kuala Nerus ini yang terlibat dengan banjir sebagaimana kita (di Kemaman) kena tahun lepas. Kita harap mereka (mangsa) banjir bersabar,” ujanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan tersebut kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim di Bilik Gerakan Banjir Dun Tepoh, Taman Desa Solehah, dekat sini, Selasa 25 November.
Hadir sama menyertai rombongan tersebut Adun Chukai, Hanafiah Mat dan Pengarah MTD Kijal, Ustaz Azri Jusoh.
Sehubungan itu, wakil rakyat Tepoh, Ustaz Hisyamuddin melahirkan rasa gembira serta ucapan terima kasih dengan sumbangan tersebut.
Menurutnya, mangsa bencana banjir yang terlibat di Dun Tepoh sahaja mencecah lebih 2,900 orang.
“Kita (PAS Kuala Nerus) cukup gembira dengan sumbangan dan sokongan daripada kawan-kawan (PAS kemaman), untuk menolong mangsa banjir di Dun Tepoh.
“Saya ucap terima kasih banyak-banyak dan sangat berbesar hati dengan sumbangan yang dibuat oleh kawan-kawan dari Kemaman ini.
“Sebab untuk Dun Tepoh sahaja, hampir 2900 lebih mangsa banjir. Setakat ini secara jumlah betulnya ialah di Taman Seri Embun, Taman Darul Iman, Kampung Padang Hangus dan beberapa tempat lagi,” ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Kuala Nerus menjelaskan kerja-kerja operai pembersihan selepas banjir sedang giat dilaksanakan setiap hari.
Bahkan, katanya bantuan dan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir juga dapat diselesaikan mengikut keperluan semasa.
“Kita (sukarelawan) akan bergerak setiap hari dan operasi pembersihan sedang dijalankan dan banyak yang telah selesai. Cuma masih berbaki 15 hingga 20 buah rumah di sekitar Taman Desa Baru, Insya’Allah hari ini final.
“Bantuan ini kita (PAS) akan gerakkan mengikut taman (perumahan), setiap hari. Mana-mana taman yang belum selesai operasi bersih kita akan bagi bantuan bekalan makanan.
“Ini (mangsa) satu jumlah yang sangat besar, kita (PAS) bersimpati atas musibah yang berlaku kepada mangsa-mangsa banjir,” jelasnya.
Menurut belau, meski pun bantuan yang dihulurkan oleh PAS kecil nilainya tetapi itu sebagai tanda simpati serta kecaknaan kepada rakyat.
Ulasan