KUALA TERENGGANU – Banjir yang melanda pantai timur dan menyebabkan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan dijangka bertambah buruk dengan hujan diramalkan berterusan untuk beberapa hari lagi.
Semalam, Jabatan Meteorologi meramalkan fenomena air pasang kerana fasa bulan penuh besar dan perigi (perigee), memburukkan lagi situasi itu.
Fenomena perigi terjadi apabila bulan berada pada kedudukan paling dekat dengan bumi, menyebabkan daya graviti lebih kuat daripada biasa, menjana air pasang yang tinggi.
Fenomena tersebut telah melanda Terengganu sejak dua malam yang lalu dan semalam air naik lebih tinggi dari malam sebelumnya.
Keseluruhan kawasan yang berhampiran dengan pantai dan muara sungai adalah kawasan yang paling terjejas.
Menurut Pengerusi Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) PAS Seberang Takir Ustaz Zakaria Dagang, kawasan yang terlibat teruk ialah Kampung Batin, Kampung Hulu Takir, Taman Permint Perdana dan sebahagian Kampung Seberang Takir.
“Seluruh kawasan Taman Permint Perdana ditakungi air. Ada sebahagian penduduk yang berpindah.
“Para petugas PAS dan anggota Unit Amal adalah antara yang awal datang membantu mangsa banjir menyelamatkan harta benda mereka,”ujarnya melalui catatan dalam laman sosialnya.
Tinjauan yang dibuat semalam juga mendapati kawasan Pulau Duyong, Batu Burok dan Pasar Besar Kedai Payang dinaiki air.
Sementara itu, kawasan Dewan Udangan Negeri (DUN) Paka turut dinaiki air dan rumah Pesuruhjaya PAS Terengganu Ustaz Satiful Bahri Mamat, juga tidak terkecuali dari musibah tersebut.
Menurutnya, air mula naik selepas waktu maghrib dan memasuki ruang dalam rumahnya.
Sehingga pagi ini, kata beliau, air masih belum surut sepenuhnya.
Sehubungan itu, Jabatan Meterologijuga telah mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat kuning bagi negeri Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Baru, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai), Terengganu (semua daerah), Pahang (Kuantan, Pekan, Rompin dan Jerantut) dan Johor (Mersing, Kota Tinggi, Kluang dan Segamat).
Amaran peringkat kuning adalah tidak kritikal yang melibatkan hujan yang kadangkala sederhana dan lebat, dijangka berterusan dalam tempoh 24 hingga 48 jam akan datang.
Apabila hujan berubah dari sekejap-sekejap ke tanpa berhenti, amaran peringkat kuning akan ditukar kepada jingga dan merah sekiranya hujan lebat yang boleh membawa banjir teruk.
Ulasan