Krisis Air Melanda Terengganu Tahun Hadapan!


paip-airKUALA TERENGGANU – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan Negeri, Ir Rosli
Othman dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa 9 Disember mendakwa, negeri ini tidak akan menghadapi krisis air pada tahun (2015) depan.
Sebaliknya, ADUN Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, jawapan wakil kerajaan itu bercanggah dengan kenyataan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang melawat Terengganu pada 30 September lalu.


Beliau menegaskan Terengganu dijangka akan menghadapi krisis air terutama di daerah Kuala Terengganu dan Marang sebagaimana kenyataan Dato’ Seri Mahdzir Khalid.
“Jawapan yang diberikan oleh Exco Kerajaan Negeri ini bertentangan dengan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, yang melawat Terengganu pada 30 September lalu,
“yang menyatakan Terengganu akan berhadapan dengan krisis air khususnya di daerah Kuala Terengganu dan Marang yang bakal terjejas tahun depan ekoran permintaan air yang meningkat,” ujarnya.
Dalam soalan lisannya, Dr Syed Azman bertanya apakah langkah yang diambil oleh kerajaan negeri bagi menghadapi kemungkinan masalah krisis air yang dijangka melanda negeri ini pada tahun hadapan terutamanya di daerah Kuala Terengganu dan Marang.
Menjawab soalan tersebut, Ir Rosli berkata kerajaan negeri meramalkan tidak akan mengalami krisis air pada tahun hadapan.
“Daripada maklumat-maklumat, data-data, cerapan dan anggaran-anggaran dan juga perancangan yang ada sekarang, yang kita (kerajaan) rancang untuk tahun depan.
http://buletinonline.net/images/stories/aberita22/Dr.%20Syed%20azman%20Usul.jpg“Kita meramalkan, kita (Terengganu) tidak akan mengalami krisis air di Kuala Terengganu dan Marang pada tahun hadapan,” jelas Ahli Exco berkenaan.
Sebelum itu, Dato’ Seri Mahdzir, semasa melawat loji rawatan air Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) di Kepong pada 30 September lalu berkata pihaknya akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di negeri ini termasuk keperluan pembinaan loji baharu bagi menampung keperluan penggunanya.
Justeru, Syed Azman menganggap jawapan Ahli Exco berkenaan bertentangan dengan kenyataan timbalan menteri tersebut.
Menjawab soalan tambahan Adun yang sama, Ir Rosli berkata tiga buah loji rawatan air di Kepong 1, Kepong II dan Losong dengan pengeluaran 290.18 juta liter sehari dapat menampung penggunaan air sebanyak 246 juta liter bagi dua daerah itu.
“Untuk makluman dewan (Dun Terengganu) ini, sekarang ini bagi kawasan Kuala Terengganu dan Marang. Kerajaan kita mempunyai tiga buah loji rawatan air iaitu Loji Kepong 1,Loji Kepong II dan Loji Losong yang mempunyai kapisitinya sebanyak 290.18 juta liter sehari.
“Manakala, permintaan dan pengeluaran air semasa adalah sebanyak 246 juta liter sehari. Jadi kita masih ada lagi baki sebanyak 43 juta liter sehari atau 15 peratus lagi,” jelasnya.
Katanya lagi, jika bekalan air tidak mencukupi bagi kedua-dua daerah, ada perancangan untuk mengambil air dari daerah sempadan seperti Hulu Terengganu dan Setiu.
Sehubungan itu, Dr Syed Azman turut melahirkan rasa kebimbangannya kemungkinan air di Terengganu akan diambil-alih oleh pihak Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Ini kerana, katanya jika kerajaan negeri tidak dapat menyelesaikan masalah agihan apabila berlaku peningkatan penggunaan air sebanyak 20 peratus di Kuala Terengganu dan Marang.
Menurutnya, kemungkinan juga pihak PAAB akan mengambil-alih seluruhnya pengurusan dan struktur air di Terengganu ini sebagaimana yang berlaku di beberapa buah negeri sebelum ini.

Ulasan