KUALA NERUS – Orang ramai khususnya warga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir dan Kuala Nerus serta seluruh rakyat negeri Terengganu diseru agar hadir beramai-ramai ke program Himpunan Harapan Semua (HARAP 3.1) yang akan bermula pada Khamis 29 Januari dan berakhir pada Sabtu 31 Januari.
Setiausaha Jawatankuasa Panitia Induk HARAP 3.1 Ustaz Zakaria Dagang berkata orang ramai boleh menghayati pelbagai aktiviti yang diadakan bersempena HARAP 3.1 yang akan merealisasikan tema ‘Harapan Untuk Semua’.
“Kita menyeru kepada semua, khususnya warga DUN Seberang Takir dan Kuala Nerus khususnya dan rakyat Terengganu amnya agar dapat datang untuk hadir ke program kita supaya kita dapat mengadakan perhimpunan yang ramai,
“dan menghayati pengisian-pengisian yang dirancang untuk mencapai harapan kita sesuai dengan tema kita bahawa PAS adalah harapan semua,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di tapak program HARAP 3.1 di Kampung Telaga Daing dekat sini pada petang Rabu 28 Januari, selepas menerima kunjungan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Idris Abd Rafar.
Katanya, ACP Idris hadir bersama-sama para pegawainya dari balai polis daerah Kuala Terengganu dan balai polis Gong Badak untuk melihat sendiri persiapan dan mendengar penjelasan tentang program HARAP 3.1.
“kita baru saja menerima kunjungan Ketua Polis daerah Kuala Terengganu………OCPD Kuala Terengganu bersama para pegawai dari (balai polis) Kuala Terengganu dan Gong Badak yang datang meninjau tapak program HARAP kita ni,
“dan setakat ini dalam perbincangan kita (dengan pihak beliau) tidak ada masalah apa-apa…..beliau meninjau persiapan program kita dan bertanya tentang program kita….dan kita maklumkan (tentang aktiviti) sepanjang program yang telah kita atur,”jelasnya.
Zakaria yang juga Pengerusi Majlis Tindakan DUN Seberang Takir berkata pihak polis berpuas hati dengan apa yang dijelaskan dan tidak ada apa-apa masalah tentang penganjuran program HARAP 3.1 kepada pihak mereka.
Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu itu juga berkata, ia adalah satu perkembangan yang baik bagi PAS untuk meneruskan program tersebut.
Beliau berharap dengan kerjasama pihak polis tersebut program HARAP 3.1 dapat berjalan dengan lancer dan aman, tanpa sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.
Ulasan