KUALA NERUS – Pemuda PAS berganding bahu dengan Ameerah mengadakan aktiviti rekreasi sambil berdakwah bersempena Himpunan Harapan Semua (HARAP 3.1) di sini.
Seramai 150 orang telah bergerak dari taman permainan kanak-kanak di pantai rekreasi bersebelahan lapangan terbang Sultan Mahmud menyusuri jalan menghala ke kampung Teluk Ketapang, sambil mengedarkan risalah dan memberikan penerangan kepada orang ramai.
Berkebetulan dengan pasar minggu yang diadakan pada setiap Jumaat, pantai tersebut penuh sesak dengan para pengunjung yang bersantai di hujung minggu.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pendekatan dakwah baru yang lebih lunak dipelopori anak-anak muda itu mudah diterima oleh masyarakat.
“Street dakwah adalah satu pendekatan baru dakwah dengan (kaedah) lebih lunak yang menyasarkan anak muda secara khususnya,
“Tujuannya ialah bg menyampaikan mesej dakwah kepada anak-anak muda khususnya yg menyentuh aspek keruntuhan akhlak dan moral,”jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui berjalan bersama ‘gerombolan’ dakwah Pemuda dan Ameerah tersebut di pantai Teluk ketapang pada Jumaat petang, 30 Januari.
Turut sama dalam kumpulan tersebut adalah Bendahari Pemuda PAS Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Harun.
Katanya, risalah khusus yang disebarkan adalah diterbitkan khusus berkait dengan ‘mesej’ memberitahu tentang peri bahayanya pergaulan bebas.
Menurutnya, perbuatan yang tidak bermoral itu seringkali membawa anak-anak muda ke lembah ‘hitam’ perzinaan.
Beliau berkata, orang ramai yang didekati oleh para peserta ‘Street Dakwah’ itu menyambut baik nasihat yang disampaikan.
“Sambutan daripada orang ramai sangat baik dan memberangsangkan,”tambah beliau.
Ulasan