Gula oh gula!

Oleh: Dr Azman Ibrahim

Harga gula naik lagi. JKKK duduk sembang dalam kedai kopi, kenaikan harga gula bagus untuk mengurangkan kencing manis. Walaupun dia sendiri minum kopi O lebih gula.

Nak buat macam mana. Perdana Menteri yang bawa hujah ni setiap kali harga gula naik. Yang di bawah ini macam burung kakak tua saja tukang ikut.


Diabetes atau kencing manis penyakit yang sangat sinonim dengan masyarakat umum. Semua orang biasa dengar perkataan kencing manis dan biasanya masyarakat umum mengaitkan dengan pengambilan gula.

Saya bukannya pakar dalam bidang diabetes tetapi subjek General Medicine (Perubatan Am) antara subjek wajib semasa pengajian dulu. Antara yang dipelajari adalah berkenaan penyakit yang sering dijadikan kambing hitam setiap kali gula naik.

Izinkan saya membuat sedikit huraian sambil berharap ada yang lebih pakar akan memberikan penjelasan lanjut.

Diabetes atau kencing manis dibahagikan kepada 2 kategori (2 type), type 1 dan type 2.

Diabetes Type 1

Diabetes Type 1 berlaku apabila badan  tidak lagi dapat memproses penghasilan insulin kerana sistem imune badan sendiri telah menyerang dan memusnahkan sel-sel di mana insulin dibuat.

Punca hal ini berlaku tidak diketahui dengan jelas, tetapi ia mungkin disebabkan faktor-faktor risiko genetik dan faktor persekitaran.

Terdapat satu teori yang menyatakan bahawa diabetes type 1 boleh berlaku selepas serangan virus tertentu. Orang yang mempunyai diabetes type 1 mesti mengambil insulin setiap hari untuk hidup.

Tiada cara yang diketahui untuk mencegah atau mengubati diabetes type 1 , tetapi ia boleh dikawal dengan mengekalkan tahap  glukosa (gula) darah dalam julat yang normal.

Diabetes Type 2

Diabetes type 2 adalah yang paling biasa berlaku.

Bagi diabetes type 2, puncanya sama ada badan tidak mampu memproses pengeluaran insulin dengan jumlah yang mencukupi atau badan tidak boleh menggunakan insulin yang dihasilkan sendiri dengan kadar yang sepatutnya.

Risiko untuk mengidap diabetes type 2 ini meningkat dengan meningkatnya usia seseorang.

Punca diabetes type 2 ini sebahagian besarnya tidak diketahui, tetapi genetik dan gaya hidup yang memainkan peranan.

Diabetes type 2 dikaitkan dengan masalah obesiti , faktor-faktor genetik serta gaya hidup yang tidak aktif.

Sesetengah kaum dan etnik yang berisiko tinggi untuk mengidap diabetes type 2 termasuklah kita orang Asia.

Harapan saya, sebelum dari kita bercakap dengan membuat kesimpulan mudah, eloklah dan lebih manis bagi kita untuk meneliti sedikit fakta-fakta mudah supaya ulasan kita tidak tersasar.

Tidak ada cara yang diketahui dengan tepat untuk mengubati diabetes jenis 2, tetapi ia boleh dikawal dengan menjaga tahap glukosa (gula ) dalam darah dalam julat yang normal.

Kencing manis memang bahaya, tapi penyakit kencing rakyat memang berat nanang!

Ulasan