Zakir Naik : Intelek Vs Ekstrem?

Oleh : Nasrudin bin Hassan

Zakir Naik dalam ceramahnya sentiasa mengemukakan hujah yang ilmiah dan rasional, tidak hanya berdasarkan sumber-Islam, beliau turut menghuraikan sesuatu perkara berdasarkan sumber agama lain bagi memahamkan pendengar terhadap keindahan Islam dan meyakinkan mereka bahawa Islam adalah agama yang sebenar. Intelek atau ekstrem?

Tidak sekadar itu, beliau tidak memaksa sesiapa untuk menerima setiap butir isi kandungan yang disampaikannya bahkan beliau memberikan peluang kepada semua samada bagi menanyakan soalan atau mengemukakan hujah balas terhadap perkara yang telah beliau sampaikan. Beliau bersedia menerima kebenaran yang disampaikan oleh pendengarnya dan membetulkan kesilapan sehingga sanggup menarik semula apa yang telah beliau sampaikan sekiranya dibuktikan bahawa ia salah. Intelek atau ekstrem?

Beliau tidak pernah pula memaksa sesiapa pun untuk hadir ke program ceramahnya. Beliau menjemput semua orang untuk hadir tanpa mengira Melayu, Cina atau India dan tanpa mengira agama Islam, Budhha, Hindu atau Kristian sementelah lagi untuk membezakan seseorang itu mengikut parti tertentu. Beliau hanya mengharapkan setiap peserta programnya hadir dengan kemahuan untuk mendapatkan kebenaran. Intelek atau ekstrem?

Menariknya (dengan izin Allah) selalu sahaja dalam programnya, ada kalangan bukan Islam memilih untuk memeluk Islam; bahkan bersyahadah dihadapan umum, ditonton oleh orang ramai dengan penuh rasa yakin dan aman. Zakir Naik tidak pernah memaksa atau mengugut individu pilihan Allah swt itu sehingga mereka berbuat demikian. Beliau hanya menyampaikan kebenaran yang dinyatakan di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Intelek atau ekstrem?

Berbanding individu atau kumpulan tertentu itu yang mahu Zakir Naik diusir dan disekat masuk dari negara ini dengan dakwaan kononnya Zakir Naik telah mengancam ketenteraman awam, moral, ekonomi, keharmonian sosial dan pendidikan negara bahkan mereka meminta campur tangan AS bagi mengenakan tindakan ke atas Zakir Naik hanya semata-mata disebabkan oleh sikap-sikap Zakir Naik yang saya nyatakan di atas, intelek atau ekstrem?

Kemana perginya hak asasi yang mereka laungkan selama ini ? Kemana hilangnya hak kebebasan bersuara yang mereka pertahankan selama ini ? Kemana hanyutnya semangat dialog intelektual yang diperjuangkan selama ini ?

Anda berhak untuk menolak dan tidak bersetuju dengan pandangan Zakir Naik, tetapi tampil lah dengan hujjah dan kebenaran.

Ulasan