Negara Haram Israel Tiada Hak Keatas Baitul Maqdis

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyifatkan negara haram Israel sebagai penjajah dan tidak mempunyai kuasa keatas Baitul Maqdis.

Badan Islam itu mengecam penutupan tempat suci tersebut dan pemasangan pengesan logam di pintu masjid oleh rejim Israel.

"Israel, sebagai kuasa penjajah, tidak mempunyai kuasa undang-undang kepada Jerusalem dan tempat-tempat Islam dan Kristian [di bandar itu]," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan OIC semalam.


Kenyataan keras itu diterbitkan selepas wakil negara-negara dibawah organisasi itu mengadakan mesyuarat tergempar di bandar Saudi, Jeddah pada hari Isnin untuk membincangkan isu pelanggaran Israel terhadap masjid Al-Aqsa.

Mesyuarat itu telah diadakan di peringkat perwakilan tetap ahli-ahli daripada negara-negara umat Islam.

Sehubungan itu, OIC berkata ia akan mengadakan satu lagi mesyuarat tergempar di peringkat menteri-menteri luar awal pada bulan Ogos untuk membincangkan perkembangan di Jerusalem.

Kemarahan telah merebak di seluruh wilayah Palestin sejak minggu lalu apabila Israel menutup Masjid Al-Aqsa, berikutan kejadian tembak menembak yang membawa maut.

Al-aqsa telah dibuka semula selepas penutupan dua hari, dengan Israel memasang pengesan logam dan kamera di pintu masjid.

Israel mendakwa pengesan logam adalah tindak balas keselamatan yang diperlukan selepas peristiwa maut itu yang menyaksikan dua pegawai polis Israel dan tiga rakyat Palestin terbunuh.

Namun rakyat Palestin berkata langkah itu bertujuan untuk mengubah status quo Al-Aqsa yang akan memberi kesan kepada kedudukan masjid dan melancarkan hasrat Zionis untuk membangunkan ‘kuil gunung’ (Temple Mount).

Empat rakyat Palestin terbunuh dalam pertempuran berasingan dengan pasukan keselamatan sejak Jumaat lalu dan tiga Israel terbunuh di rumah mereka di penempatan Tebing Barat.

Ulasan