Bob Lokman: Isabella, Mimbar Dan Pemusafiran Kehidupan

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Rumah anak seni itu meriah apabila kawan-kawan berhimpun untuk merajut ukhuwwah ,ada yang datang sejauh Grik Perak. Aku mewabakkan ajakan untuk kawan-kawan menziarahi abang Bob, dalam kesibukan musim pra pilihanraya ini ,masa sangat culas dan cemburu seperti isteri tua .Pagi yang semakin membahang itu juga dihangatkan lagi dengan kehadiran Mufti Wilayah Persekutuan dengan para pegawainya yang berpenampilan kemas.


Aku tiba jam 10.40 pagi dianjung rumahnya, Bob terlantar diatas tilam dengan corong oksigen memekap wajahnya. Dia kelihatan penat dengan gaya mengiring serba tak kena, sakitnya berangkai seperti kembar siam, paru-paru,jantung dan buah pinggang. Pembantuku,Faizal melabuhkan tangan pada urat kaki Bob, mengusap perlahan bagi melancarkan aloran darah. Dia mengadu kakinya bengkak bila berlamaan dalam kereta, tubuhnya belum gagah untuk kemana-mana.

" enta tak payah urut ana,,nanti ana semakin sakit!" Katanya bercanda dan ruang tamu itu mula dipenuhi dengan keriangan dan hilai tawa. Guratan wajahnya mula kelihatan ceria sambil membetulkan corong oksigen. Dia mula bertanya pelbagai perkara, segalanya rindu pada dunia yang bebas  dan berwarna warni. Aku dan dia sering bermusafir bersama ke merata ceruk tanahair, menghafal tempat-tempat makan menarik.

" ustaz Yusaini Perlis kerap kirim duit kat ana...ingat dia pada ana...ustaz Yusaini ada berniaga apa" tukasnya perlahan.
"Ohh,,dia meniaga green tea MATIN.....ada duit sikit-sikit buat tampung kos operasi Maahad " jawabku lancar. Ustaz muda itu jika mengundang kami ke Perlis tak lupa menjamu kami di Restoran Anjung Keli.

Sejak pulang ke rumah beliau di Sungai Buluh, teman-teman artis seperti D.J Dave, A.Rahman Hassan telah datang melawat. Malah ada yang ingin menghulurkan bantuan seperti bateri jantung,namun ditolak dengan baik.

Perbualan kami dikejutkan dengan kehadiran Mufti Wilayah Persekutuan dan rombongannya. Sang mufti dengan jubah putih itu disalami Bob dengan agak terharu. Dato Dr Zulkifli bertanya khabar, menghadiahkan penulis lirik prolifik itu dengan madu Sidhir daripada Yaman. Perbualan dengan selangseli candaan itu meriah dengan aroma ukhuwwah. Satu-satunya mufti yang aku sangat kagumi, merakyat dan tawadhuk. Beliau mengakhiri kunjungan dengan berdoa dan menitip kata-kata motivasi buat Bob Lokman.

Tetamu terus datang menziarahi,termasuk sdr Suhaimi Embong, Atan daripada akhbar Harakah.  Kelihatan Bob menggosok bahagian dada, matanya memandang teman-teman yang hadir, tetamu-tetamu lain sedang menjamu selera ,termasuk alumni sekolahku yang juga hadir. Yome dan Zamri adalah generasi yang meremaja saat Bob dijulang sebagai penulis lirik genre rock. Apabila Bob meninggalkan alam industri seni, pengikut Bob tetap mengintainya daripada jauh.

Sakit atau sihat Bob tetap menjadi perhatian masyarakat, teman-teman aktivis terus menziarahi Bob dan berita keuzuran anak seni ini dengan pantas berjangkit di alam siber. Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim bin Lokman bin Ahmad bin Yusuf al Kenali dengaan nekad telah meninggalkan kerlipan industri hiburan dan menyertai PAS dalam himpunan 30k Pemuda Pas di Alor Setar. Namanya tetap menggunguli pentas ceramah PAS serta pengisi program masjid surau,malah acara besar PAS ,namanya tetap dalam senarai papan carta utama.

 Mengendong tendensi dan bakat dibidang pengacaraan yang beliau puluhan tahun ceburi selamaa ini. Bob adalah alumni Maahad Hamidiah Kajang, pernah membesar di Pondok Tok kenali kubang kerian, juga merupakan cicit Tok Kenali dan cucu Tuan Guru Haji Ahmad Bangkok. Bakat berdakwah ada dalam darahnya dan beliau juga merupakan anak saudara almarhum ustaz Mawardi Ahmad, bekas ADUN Lundang.

Beliau semenjak berhijrah daripada alam selebriti  terus menjadi pentaksub ilmu, menghadiri majlis ilmu, berusrah serta turun menjelajahi negara untuk berkongsi pengalaman serta menitip nasihat buat anak muda. Bob juga berusaha untuk menarik kawan-kawan artis untuk kembali menghayati ajaran Islam seterusnya berhijrah ke alam fitrah. Rumah beliau di Sungai Buluh sering menjadi tempat berusrah serta majlis silaturrahim.

Semenjak Bob jatuh sakit, aktivitinya terhenti dan ini sedikit sebanyak kondisi ekonomi juga terjejas.  kita sebenarnya tak cukup hanya melontar simpati dan memangku lengan . Isteri Bob tidak bekerja , tanggungannya masih ramai dan saya terkenangkan Bob yang turut dikerah kemana sahaja untuk berceramah jika jasadnya sihat. Saya merayu teman- teman aktivis untuk menjenguk Bob Lokman dan membantu meringankan beban beliau kerana sewaktu jasadnya sihat kita memanfaatkan bakat dan popularitinya untuk perjuangan Islam.


Untuk teman- teman yang ingin menghulurkan bantuan kepada Bob Lokman, boleh menyalurkan kepada akaun isteri beliau: 4416206406 public bank. Relawati Daud

Ulasan