KUALA TERENGGANU - Veteran PAS, Dato’ Mustafa Ali berpendapat pakatan pembangkang tidak mungkin dapat mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tanpa penyertaan PAS.
Ini kerana, katanya bagi mengalahkan BN pakatan pembangkang mesti memenangi banyak kerusi-kerusi Melayu di Semenanjung.
Menurutnya, buat masa ini tidak berbangkit lagi PAS akan bersama dengan pembangkang dalam Pakatan Harapan.
“Kerusi-kerusi kawasan bukan Melayu yang lazimnya dimenangi Cina, India…ini DAP sudah menang banyak sekarang terutama di Semenanjung.
“PAS dengan strateginya Gagasan Sejahtera dan ini tidak mungkin akan berubah. Tiga blok ini PAS-Gagasan Sejahtera, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan akan bertarunglah.
“Akan berlaku pertandingan tiga penjuru atau lebih lagi jika ada parti Bebas,” ujarnya dalam satu sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu, pada Selasa 27 Mac.
Justeru, pada pengamatan Dato’ Mustafa katanya, PRU14 ini paling sukar bagi menentukan keputusannya pilihan raya tersebut.
Menurutnya, berdasarkan kajian itu keputusan PRU14 bercampur-campur di antara negeri ada yang dimenangi Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan PAS.
“Saya yakin PAS dapat mengekalkan pemerintahannya di Kelantan, walaupun bertandingan tiga penjuru. Ini kerana, Pakatan Harapan (PH) tidak mungkin boleh menang kerana perlawanan sebenarnya antara PAS dengan Umno-BN.
“(parti) Yang lain itu jadi ‘kacau daun’ sahaja dan yakin PAS masih dapat mengekalkan kuasanya nanti di Kelantan.
“Di Terengganu pun perlawanan sebenarnya antara PAS dengan BN dan bukan dengan PH. Berdasarkan pilihan raya lepas dan perkembangan sekarang ini kedudukan politik di negeri ini 50-50 antara PAS-BN,” jelasnya.
Ulasan