Pesta Sukan PASTI Terengganu : Marang Menang Besar

Oleh  : Aziz Hambali

BESUT, 14 April - Kontinjen PASTI Kawasan Marang merangkul juara keseluruhan Pesta Sukan PASTI peringkat negeri Terengganu 2019 selepas mencatat kemenangan bergaya 2-0 menewaskan pasukan PASTI Kawasan Kuala Terengganu bagi acara bola sepak, semalam.

Pada aksi yang berlangsung di Padang Astaka Jerteh, Besut itu, kontinjen PASTI Marang juga membolot kesemua anugerah yang dipertandingkan dengan merangkul juara acara Bola Jaring dan juga Pembarisan Terbaik.



Bukan sekadar itu, bahkan anugerah Pemain Terbaik Bola Sepak dan Pemain Terbaik Bola Jaring juga dimenangi PASTI Marang. Adik Muhammad Farish Syamil Sharif, 6 tahun dari Pasti Al-Fatah, Sentul Patah, Marang dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan setelah menyumbat 10 gol kesemuanya.

Sementara itu, Pengarah PASTI Kawasan Marang, Haji Mohd Fazrull Ismail ketika ditemui wakil media meluahkan rasa terujanya setelah bertahun-tahun Marang memburu kejuaraan.

"Alhamdulillah, penantian selama enam tahun, akhirnya tahun ini, 2019, baru direalisasi, PASTI Marang dinobat juara keseluruhan kejohanan selepas menjuarai acara bola sepak, bola jaring dan pembarisan terbaik,

"Di kesempatan ini juga, saya ingin mendedikasikan ucapan terima kasih dan tahniah atas kerja keras yang ditunjukkan oleh semua pihak terutama guru-guru, jurulatih-jurulatih bola sepak dan bola jaring yang tidak kenal erti penat lelah berlatih selama sebulan di Dewan Tok Guru, Rusila", katanya.

Haji Fazrul yang juga AJK Dewan Pemuda PAS Marang menyatakan harapannya agar pasukan PASTI yang bakal mewakili Negeri Terengganu ke peringkat sukan PASTI Malaysia yang akan berlangsung pada 27 April 2019 di Negeri Melaka agar membuat yang terbaik dan menjaga nama baik Terengganu.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan YB Senator Dewan Negara, Dato' Husain Awang.

Ulasan