PRK Rantau : Rakyat Terus Tunjukkan Protes!

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU – Kemenangan Tok Mat mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau  dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) menunjukkan protes rakyat secara terbuka terhadap prestasi Kerajaan PH.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata walau di manapun PRK, majoriti pengundi akan mengambil kira prestasi semasa Kerajaan Pusat yang sedang memerintah sebelum mereka membuat pilihan.



“ Kempen berdegar-degar pun, tak banyak ruang untuk mengubah pandangan rakyat kalau tindakan drastik untuk memperbaiki prestasi tidak diambil segera,” ujarnya.

“ Memang satu senario baru dalam politik negara bila parti yang menguasai Putrajaya kalah 3 kali berturut-turut dalam PRK. Ia tak pernah berlaku sebelum ini,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian menerusi laman ‘Facebook’ milik peribadinya, pagi tadi.

Menurut beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri Jabi, di zaman sekarang ini, rakyat susah terkena ‘bius’ walaupun PH menampilkan calon pakar bius kerana rakyat sekarang ini berada pada tahap alert yang tinggi.

“ Kita turun kereta dengan kaki kiri atau kaki kanan pun rakyat perati. Masuk kampung tak turunkan cermin kereta kena komplen. Apatah lagi bila janji sebesar gajah dibuat-buat tak nampak,” sinisnya.

“ Pesakit yang dah kena bius dalam dewan bedah pun doktor tak boleh nak buat ikut suka. Ada SOP patient handling yang sangat ketat walaupun patient dah tak sedar. Apatah lagi ketika berurusan dengan pesakit yang sedar.”

Ulasan