Kerajaan PAS Salur Peruntukan Untuk Manfaat Rakyat

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU - Penyaluran peruntukan kerajaan PAS di seluruh Negeri Terengganu adalah untuk dimanfaatkan dan dinikmati sepenuhnya oleh rakyat.

Ahli Jawatankuasa Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Dr Azman Ibrahim berkata kerana itulah dalam sektor pertanian, Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan kepada Jabatan dan Agensi Kerajaan Persekutuan untuk dilaksanakan program dan projek yang memanfaatkan rakyat.



"Antaranya peruntukan yang disalurkan kepada Jabatan Perikanan untuk program memperkayakan sumber perikanan serta bantuan peralatan nelayan,

"Manakala peruntukan melalui Lembaga Pertubuhan Peladang untuk program Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) dan peruntukan tampungan harga duku kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA),’’ katanya dalam kenyataan rasmi, pada Isnin 27 Januari.

Jelas ADUN Jabi itu, walau pun tugas-tugas tersebut berada di bawah bidang kuasa Jabatan Persekutuan, tetapi yang mendapat manfaat ialah rakyat dibawah.

Maka dengan itu, katanya kerajaan negeri dan pusat perlu bekerjasama dan berganding bahu.

"Atas dasar ini jugalah, peruntukan Bantuan Am RM250,000 diberikan juga kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan kerajaan," tegasnya

Ulasan