Perlu Sapu Nyahjangkit Kuman?

Kita semua tahu, virus nCov baharu dikenali jenisnya akhir tahun lepas. Ianya satu keluarga dengan SARS dan MersCov yang pernah menggemparkan dunia satu masa dahulu [1].
.

Oleh kerana ianya baharu dikenali, zat, sifat dan perangai nCov itupun masih lagi dalam pemerhatian, kajian dan pemantauan.
.

Apabila timbul isu yang mengarahkan semua barangan yang dibeli secara online perlu dinyahjangkit (sanitized), saya merasakan agak keterlaluan. Kita telah membina kacau-ganggu (mixed feeling) pemikiran masyarakat ramai. Di saat kita meminta masyarakat bertenang, kita sebenarnya tidak tenang dalam melebarkan info. Pandangan saya bukan muktamad, boleh diperdebatkan.
.
Mungkin sedikit kerisauan perlu ada, namun tidaklah terlalu melatah sehinggalah semua barangan yang dibeli secara online itu ingin dinyahjangkit kuman. Syarikat berkenaan pun telah beri jaminan bahawa mereka pun prihatin dengan wabak yang berlaku. Segala syarat ketat telah pun dijalankan oleh mereka bagi mempastikan barangan itu selamat.
.
Mari kita belajar sedikit sifat dan perangai abang-abang kepada 2019-nCov, iaitu SARS dan MersCoV.
.
SARS:
1. Berlaku wabak 2002 hingga 2003.
2. Bermula dari Guandong China.
3. Seramai 8,098 kes dilaporkan dan 774 kematian. Ini bermakna kekuatan virus ini membunuh 1 dari 10 orang yang disahkan positif [2].
4. Perumah utamanya adalah musang. Ia juga merebak ke mamalia lain termasuk manusia.
5. Tempoh pengeraman adalah 10 hari.
6. Ia tidak boleh hidup lama di persekitaran. Kajian mendapati, hanya 48 jam jika ia hinggap atas permukaan barang tidak bernyawa.
7. Kuasa perebakan kepada manusia tinggi jika berada sekitar 3 kaki dari bintang atau manusia yang positif virus tersebut [3].
8. Disarankan barang yang tidak bernyawa itu dinyahjangkit jika didapati kes positif berada dalam sesuatu lokaliti.
9. Tiada vaksin berjaya dibuat pada masa ini.
10. Virus SARS adalah sejenis RNA. Struktur RNANYA sedemikian, agak susah untuk dibuat vaksin. HIV juga sejenis RNA struktur, oleh itu sehingga sekarang virus HIV tidak ditemui lagi vaksin.
.
MersCov:
1. Berlaku pada tahun 2012 - 2015.
2. Dikatakan punca perebakannya dari Arab Saudi dan telah mencatat kematian seramai 502 (35%) orang dari 1413 kes positif. Kekuatan virus itu membunuh adalah 3-4 orang dari 10 kes yang positif [4].
3. Perumah virus MersCoV adalah unta. Walaupun kajian terakhir tidak dapat mengaitkan secara pasti samada unta atau kelawar atau mamalia liar lain.
4. Tempoh pengeraman adalah 2 hingga 14 hari.
5. Orang ramai dinasihatkan menjaga kebersihan, tidak peluk cium unta, tidak berdamping rapat dengan pesakit positif dan tidak meminum susu serta air kencing unta.
6. Heboh pada masa itu virus MersCoV merebak melalui buah tamar. Ianya amat sukar berlaku, sepertimana SARS, struktur RNA virusnya memerlukan protin untuk kekal hidup. Bahkan kajian mendapati, virus MersCoV hanya boleh bertahan 91 jam (4 hari) sahaja jika ia berada dibarang atau makanan tercemar.
7. Untuk langkah berhati-hati, bersihkan dahulu makanan sebelum dimakan. Jika susu unta, masakkan dahulu atau pasturkan ia sebelum diminum. Kencing unta, tak payah minumlah. Tiada bukti perubatan pun.
8. Tiada vaksin berjaya dibuat pada masa ini. Penerangannya sama seperti butiran 10 bagi SARS di atas.
.
Baik, berbalik kepada 2019-nCov: Sejenis penemuan baru dari keluarga Coronaviridae. Jika mahu disamakan dengan SARS dan MersCoV dari segi tempoh pengeraman dan kitaran hidup, bolehlah. Kan ianya adik beradik, lebih kurang sama lah. Namun kajian lanjut mengenai jangkitan ke atas barang-barang baharu dalam progress [5]. Tempoh kajian sebulan. Justeru bulan depan baharu diketahui keputusannya. Nak berhati-hati supaya tidak dijangkiti dengan menyahjangkit semua barangan yang dipesan secara online itu, adalah baik. Tetapi seperti yang saya sebut sebelum ini, tidak perlu keterlaluan. Kita semua terlalu prihatin isu ini termasuk syarikat yang mengendalikan jualan secara online.
.
Sekian pandangan saya.
.
Suhazeli Abdullah
29.1.2020
Subang
.
Pautan
[1] Pelajaran dari wabak SARS dan MersCoV. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4890194/
[2] Punca SARS. https://www.nhs.uk/conditions/sars/
[3] Factsheet SARS. https://www.cdc.gov/sars/about/fs-SARS.html
[4] Virus Corona dalam buah Tamar. http://suhazeli.com/wp/?p=2542&
[5] Kajian Jangkitan atas Barang. https://www.who.int/publications-detail/household-transmission-investigation-protocol-for-2019-novel-coronavirus-(2019-ncov)-infection

Ulasan