Ameerah Terengganu Dinobatkan Terbaik

Oleh : Syazwana M.Zohir
Foto Oleh : Media HAMRA
KUALA TERENGGANU – Ameerah Negeri Terengganu telah dinobatkan sebagai penerima ‘Anugerah Ameerah Negeri Terbaik’ mengatasi negeri-negeri lain dalam Himpunan Ameerah se-Malaysia (HAMRA) baru-baru ini.
Pengarah Ameerah Negeri Terengganu, Zuraida Md Noor menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT atas pengiktirafan Ameerah Malaysia terhadap Ameerah Terengganu.
“Saya selaku Pengarah Ameerah Terengganu ingin mengajak semua ahli Ameerah Terengganu supaya kita bersama-sama perteguhkan jamaah, perkukuhkan saf perjuangan, perkemaskan fikrah, dan mantapkan keyakinan kita kepada janji Allah SWT.
“Janji Allah SWT iaitu kepada sesiapa yang berjuang di jalan-Nya, yang berbeza dengan yang tidak berjuang, sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah SWT dalam surah al-Imran ayat 142 yang berbunyi: ‘Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang-orang yang sabar’ ,” katanya.
Tambahnya lagi, dengan jumlah penglibatan ahli yang paling ramai bergerak aktif di semua peringkat sama ada di cawangan, Dewan Undangan Negeri (DUN), Parlimen dan juga negeri telah melayakkan Ameerah Terengganu menggondol anugerah tersebut.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan penghargaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu kerana telah banyak memberi tunjuk ajar kepada kami, orang muda supaya segala gerak kerja yang dilakukan mengikut landasan yang telah digariskan.
“Tanpa bonda bonda semua siapalah kami ini, persis anak kecil yang sentiasa menanti suapan seorang ibu”, tambahnya.
HAMRA yang telah berlangsung pada 1 Februari 2020 yang lalu merupakan Himpunan Ameerah se-Malaysia kali pertama penganjuran dan telah berjaya menghimpunkan lebih 1600 orang muslimat muda dari seluruh negeri.

Ulasan