Santai ARC DUN Langkap Medan Ukhwah Dan Ilmu

Oleh : Ariss Alias
SETIU – Santai bermotor ‘Alternative Riding Club’ (ARC) Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap berperanan sebagai medan ukhwah dan ilmu.
Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu Azmi Maarof berkata, konvoi bermotor adalah untuk berseronok dan menjadi bermanfaat apabila diisi dengan program yang bersesuaian.
“Petang ini kita berkumpul secara beramai-ramai bukan untuk berlumba tetapi mendidik peserta agar mengamalkan cara tunggangan yang selamat.
“Anak muda yang hadir berasal daripada pelbagai kampung, berjumpa dan bersama-sama bermain dalam aktiviti sukaneka yang diadakan di pantai petang ini seterusnya mengeratkan ukhwah,” ujarnya.
Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN Langkap berkata sedemikian ketika ditemubual oleh wartawan di Pantai Bari Kecil di sini, pada hari Jumaat, 7 Februari.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS DUN Langkap, Baihaqiey Ahmad menyifatkan penyertaan peserta dalam program tersebut adalah melebihi jangkaan awal.
“Saya sangat gembira pada awalnya dianggarkan sekitar 50 hingga 80 orang peserta sahaja namun yang hadir melebihi 100 orang.
“Mereka yang hadir juga saya kongsikan kaedah mengambil wudhuk menggunakan hanya separuh kandungan botol air mineral bersaiz 500 ml.
“Ini bagi menunjukkan kepentingan solat yang hukumnya wajib dan jumlah air yang sedikit bukan menjadi sebab kita meninggalkan solat lebih-lebih lagi ARC merupakan satu badan badan di bawah parti yang memperjuangkan Islam,” jelas beliau.

Beliau menambah, konvoi ARC DUN Langkap yang bermula dari Masjid Chalok Kedai ke Pantai Bari Kecil berjaya menghimpunkan seramai 120 orang peserta dan aktiviti sukaneka turut disertai oleh penduduk Kampung Bari Kecil.

Ulasan