‘Yasin Mahabbah’ Pertaut Muslimat Dan Wanita

Oleh : Syazwana M.Zohir
Foto : Lajnah IT DMPKB
BESUT – Program ‘Yasin Mahabbah’ telah berjaya mempertaut hubungan antara muslimat Parti Islam se-Malaysia (PAS) dengan Wanita Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).
Ahli Jawatan Kuasa Dewan Muslimat PAS Kawasan Besut (DMPKB) Kota Putera, Lijah Sulaiman berkata majlis bacaan Surah Yasin ini dianjurkan oleh DMPKB dengan usaha sama Wanita UMNO bersempena persepakatan dua parti terbesar Melayu-Islam iaitu PAS dan UMNO dalam Muafakat Nasional.
“Program ini pada perancangan asalnya hanya mahu menghimpunkan Muslimat PAS dan Wanita UMNO, tetapi berbetulan pula dengan keadaan konflik politik dalam negara kita. Maka, kenalah pada masanya, kita berkumpul untuk membaca Yasin demi mengeratkan persaudaraan dan pada masa yang sama untuk medoakan kestabilan negara.
“Ini program pertama kita bersama-sama Wanita UMNO sebagai menghulur tangan tanda persahabatan kepada mereka, kita jemput mereka untuk menyertai kita dan alhamdulillah, mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pihak mereka”, ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu ramah di Masjid Gong Bayor, Kota Putera, pada Sabtu 29 Februari.
Menurut Lijah, program tersebut dinamakan dengan Program Yasin Mahabbah yang bermaksud kasih sayang. Bersesuaian dengan keadaan PAS dan UMNO yang sudah mulai melupakan sengketa politik lama demi kemaslahatan Islam.
“Sebelum ini kami berfikir-fikir, apa yang patut kami lakukan untuk mendekatkan jurang antara PAS dan UMNO di Besut ini kerana umum mengetahui, di Besut perseteruan antara dua parti ini agak sengit. Walaupun begitu, saya bersyukur program ini dapat sambutan yang baik.
“Insya-Allah, kita akan rancang beberapa lagi program dengan penglibatan bersama cumanya buat masa sekarang ini, kita akan fokus kepada bacaan Yasin supaya penyokong PAS dan UMNO tak merasa jauh, ada rasa erat kasih sayang dengan hikmah Surah Yasin itu sendiri sebenarnya yang meresap dalam diri dan mendekatkan jiwa-jiwa kita”, tambahnya.
Majlis Bacaan Yasin Mahabbah tersebut telah dihadiri kira-kira 150 orang wanita daripada kalangan pendokong sayap wanita PAS dan UMNO.
Lijah turut menasihati semua muslimat agar jangan terlalu mempercayai khabar angin melebihi kenyataan rasmi yang dibuat oleh lidah rasmi PAS iaitu melalui Tuan Guru Presiden atau Setiausaha Agung.
“Zaman sekarang ini, mudah kita nak sebar apa-apa disebabkan adanya media sosial. Cumanya muslimat kena sentiasa peka, jangan sehingga kita melebihi keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan. Biarlah kita jadi orang yang berhemah.

Ulasan