Ramadan; Perkemaskan Ibadah Diri Dan Keluarga

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah, marilah kita panjatkan rasa syukur ini ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat-nya kita masih diberi peluang bertemu Ramadan pada tahun ini. Bagi pihak Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, saya ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan. Kami di BPPNT mendoakan semoga kita semua selamat dan berjaya mengharungi madrasah Ramadan di sebalik ujian yang menimpa seluruh dunia hari ini.



ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)  [Ar-Rum 30:41]

Umum tahu kita semua telah di uji dengan wabak COVID19. Kerajaan pula terpaksa menjalankan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sebagai usaha mengawal wabak dari merebak. Jika di amati, banyak kisah pengajaran di dalam al-Quran berkenaan kaum-kaum terdahulu yang melakukan kezaliman & melampaui batas akhirnya mendapat balasan buruk dari Allah.

Jika cuba dikaitkan pasti kita akan rasa sedih kerana kita dapat lihat banyak kemungkaran yang pernah terjadi dahulu diulang kembali oleh manusia pada hari ini. Seorang sahabat pernah bertanya pada Rasulullah, “Bilakah akan terjadi kiamat?, Rasulullah tidak menjawab tapi bertanya: apa persedianmu untuk hari kiamat? Sama ada kita bersedia atau tidak, ujian atau bala pasti datang dan wabak ini tidak lain merupakan peringatan awal buat kita semua yang berfikir.

Mengambil kelebihan Ramadan, saya ingin mengajak semua untuk melawan bala ini dengan memperkemaskan ibadah diri serta keluarga. Jika dulu kita di sibukkan dengan kerja, kini kita ada masa dan ruang untuk memastikan puasa, terawih, tadarus, qiam, sedekah, zakat dan ibadat lain lebih terjaga. Pacaklah matlamat, agar selepas semua ini berakhir kita akan menjadi orang Islam yang lebih baik dan dengan izin Allah Islam akan kembali gemilang.

Akhir kata dari saya, ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak terutama mereka yang bertugas di barisan hadapan kerana berusaha dan berjuang memastikan rakyat awam selamat dari wabak COVID19. Bersama kita berdoa agar negara kita sentiasa mendapat berkat, rahmat
dan sentiasa dalam perlindungan Allah.

Selamat Menyambut Ramadan

*Islam Memimpin Kemenangan*

Yang benar,

YB Senator Dato’ Haji Husain bin Awang
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Negara

Ulasan