Sukarelawan Muslimat, Ameerah Bergabung Siapkan PPE


KUALA TERENGGANU – Sukarelawan Muslimat dan Ameerah bergabung tenaga menyiapkan set Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk disumbangkan kepada barisan hadapan yang bertarung nyawa menentang virus COVID-19.


Naib ketua Muslimat PAS negeri Terengganu, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata,  peralatan penting tersebut yang  terdiri daripada pelindung kepala (head cover), pelindung kasut (shoe cover).

“Kita telah sediakan setakat ini ialah sebanyak 671 set PPE ini untuk diberikan kepada dua tempat yang pertamanya ialah melalui Klinik Kesihatan Manir di mana Klinik tersebut akan mengagihkan PPE ini kepada pusat kesihatan daerah Kuala Terengganu. Pusat kesihatan daerah Kuala Terengganu ini kita telah serahkan kepada 330 set PPE.

“Seterusnya yang kedua ialah menyediakan PPE ini kepada PAPISMA Terengganu di mana kita telah menyediakan sebanyak 341 set  dan PAPISMA Terengganu ini telah mengagihkan PPE ke hospital di Terengganu contohnya hospital Hulu Terengganu dan mana-mana sahajalah tempat yang memerlukan PPE,” jelasnya.

Beliau yang juga isteri kepada ADUN Buluh Gading berkata demikian ketika ditemui pihak media di kediamannya, DUN Buluh Gading, semalam Jumaat 10 April.

Menurutnya, seramai 30 orang yang terlibat dalam menyiapkan set PPE tersebut antaranya adalah tukang jahit, jurugegas (runner), Ameerah dan Muslimat DUN Buluh Gading serta 70 orang sukarelawan yang sanggup membantu menjahit PPE tersebut.

“Saya difahamkan PPE ini bukan sahaja dipakai oleh doctor, jururawat tetapi polis, bomba juga terpaksa memakai PPE ini contohnya apabila mengiringi jenazah dan sebagainyalah,” ujar beliau.

Justeru itu, beliau berpesan kepada orang diluar sana agar sentiasa mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua barisan hadapan  yang bertugas tidak kira masa tujuh hari seminggu tidak ada cuti.

“Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada mereka melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Saya juga ingin berpesan dengan kesempatan kita berada di rumah masing-masing banyakkanlah mendekatkan diri kepada Allah dengan banyakkan solat, membaca Al-Quran dan bersedakah,” tambah beliau.


Ulasan