29 Tahun Unit Amal Berbakti Tanpa Lelah Dan Mengharum Jamaah


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Pejam celik dengan masa yang bergulir pantas, kini Jabatan amal yang dulunya dikenali sebagai Unit Amal mendakap umurnya yang ke 29 tahun. Badan beruniform ini tak pernah lelah menabur bakti dimedan operasi masyarakat sehingga mengharumkan nama PAS, sebagai entiti yang tegak diatas fondasi siasah, dakwah dan tarbiah.

Nama mereka disebut seindah jasa yang ditabur, bukan sekadar di medsos namun kini merambah ke medoa arus perdana. Minggu ini seorang anggotanya yang juga seorang guru KAFA menggadai nyawa sendiri dengan menyelamatkan lima mangsa lemas kereta terhumban di Bagan Dato Perak.
Sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini ,mereka membantu masyarakat dan kerajaan berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang mengancam nyawa manusia. Mereka disindir dan diremehkan oleh para pembenci tapi kelompok relawan berbusana merah merun ini tetap tak peduli dan tebal telinga melakukan kebaikan demi kebaikan. Mereka menghantar makanan kepada rakyat yang susah, menyiapkan set Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) ,menyantuni petugas barisan hadapan dan pelbagai usaha membantu massa. Anak-anak muda berwajah bening ini juga disenangi oleh anggota keselamatan dan penyelamat kerana bertugas tanpa upah dan laparkan publisiti, inilah tarbiah yang mereka hadam daripada ‘harakatul ummah’.
Jika anda memulakan langkah dalam jemaah bersama Dewan Pemuda, maka Unit Amal adalah segmen yang wajib disertai. Dalam organisasi ini, kita akan diajar berkerja dan mentaati arahan serta disiplin berjemaah. Aku juga memulakan langkah pertama dalam harakatul ummah ini melalui penglibatan dalam Unit Amal, iaitu Unit Amal Lembah Pantai, semuanya bermula di sini, Cinta, dedikasi dan pengorbanan.
Mengimbas keterowong masa laluku di kampus UM , menoleh kiri dan kanan pada anak-anak muda yang berdesakan mengiringi Tuan Guru Haji Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS yang juga ahli Parlimen Marang. Sosok ini seperti tarikan magnet kepada orang ramai terutama anak muda yang berfikrah Islam. Anggota Amal yang hanya berbaju T kelihatan menjaga keselamatan sosok ulama itu dengan sangat rapi, juga kelihatan segunung rasa cinta agar tiada yang menganggu program kuliah Ayah Chik.
Senario ini pada tahun 1992, saat aku masih menyandang gelaran mahasiswa Universiti Malaya, masa terluang mengikuti Unit Amal Lembah Pantai yang dipimpin oleh Haji Uzir Ahmad. Seorang kontraktor lanskap lulusan UITM berjanggut panjang. Haji Uzir berasal dari Perak dan menjadi jemaah tetap Masjid Ar-Rahman.
Tidak ramai anak-anak kampus Universiti Malaya yang terlibat dengan Unit Amal kerana gerakan pelajar lebih mempunyai tarikan pesona berbanding gerakan kepermudaan di Kawasan Lembah Pantai. Amal masih dipersepsikan sebagai budak jaga parkir dan petugas kebersihan selepas pgram-program ceramah umum.
Pada masa itu, Unit Amal masih lagi begitu baru di medan masyarakat, walaupun Pemuda PAS mempunyai gerakan kepanduan mereka sendiri semenjak era dekad 1960an dan 1970an.
Aku teringat almarhum Ustaz Hasan Shukri yang menceritakan bagaimana gerakan pemuda Syuhada di zamannya yang mengadakan mukhaiyam, aktiviti berkawad, juga aktiviti seni silat. Apatah lagi pemuda UMNO yang terkenal era itu dengan pemuda tahan alasak, mengganggu aktiviti yang diadakan oleh PAS saat dua parti Itu masih bergesel dimedan persaingan dekad 60an.
Kewujudan gerakan kepanduan Pemuda PAS ini dibuktikan dengan gambar-gambar kawad dan perbarisan setiap kali majlis besar yang diadakan oleh PAS.
Kewujudan gerakan kepanduan berteraskan khidmat kebajikan dan sukarela bagi gerakan Islam, bukanlah sesuatu yang baru atau hanya muncul di negara ini.
Gerakan fenomenal dunia seperti Ikhwanul Muslimin, jauh lebih awal mempunyai sayap kepanduan Syabab Ikhwan (Abdul Muiz: 2001). Begitu juga Jamiat Islami di belahan sub kontinen, mempunyai gerakan kepanduan yang berkhidmat untuk membantu masyarakat dan juga sayap gerakan yang penting.
Di Indonesia pula, Masyumi (Majlis Syura Muslimin Indonesia), mempunyai gerakan kepanduan yang menghimpunkan ramai anak muda, sehinggalah wadah politik Islam ini diharamkan oleh Soekarno, akhirnya memaksa sebahagian aktivis mengangkat senjata.
Unit Amal mengorak langkah menjuarai bidang kebajikan, membantu program-program PAS di semua peringkat, menghimpunkan anak muda yang cenderung dalam bidang kepanduan (pengakap), menarik anak muda kepada fikrah perjuangan Islam bahkan terlibat dengan misi-misi bantuan di seluruh dunia.
Bukan sedikit ujian melanda badan sukarela ini, termasuk cuba mengaitkan mereka dengan tujuan ketenteraan, namun Unit Amal membuktikan mereka hadir di tengah masyarakat untuk berbakti dan berbudi. Aku teringat kata-kata nasihat Haji Husein Ismail kepada anak muda Amal agar memastikan tiada fitnah kepada Unit Amal, pastikan Amal mengkedepankan urusan kebajikan dan kemasyarakatan. Ini bagi memecahkan tembok kaca antara masyarakat dan juga gerakan Islam tanahair.
Apabila negara dilanda musibah banjir, mereka ‘beruniform merah’ ini berada di barisan hadapan, jauh lebih awal daripada agensi kerajaan sendiri.
Kelompok relawan berbaju merah ini berjaya memecahkan tembok kaca PAS dengan masyarakat, mengikis imej parti ekslusif pak lebai dan agamawan. Unit Amal dengan pelbagai kepakaran dan latar belakang keanggotaan, daripada buruh sehinggalah ahli akademik, usahawan, profesional muda.
Kepelbagaian latar belakang ini merencahkan Unit Amal menjadi pasukan yang kuat, disegani malah dihormati oleh pihak polis sendiri. Aku secara peribadi menemui pegawai-pegawai kanan polis dan mereka memuji Unit Amal berkerja tanpa mengharapkan habuan duniawi, berpanas terik serta bermandi hujan.
Mereka berkerja tanpa upah, mampu diarah, berdisiplin tinggi, menjaga reputasi sebagai barisan hadapan jemaah Islam, berembun dan berpanasan untuk program PAS dan masyarakat.
Negara ini tidak mampu berbohong tentang asas dan kepakaran Jabatan Amal, mereka mengawal peserta-peserta bantahan awam daripada bertindak liar, menjaga keselamatan peserta dan juga mendisiplinkan para demonstran. Lihat sahaja bagaimana hebatnya Jabatan amal Malaysia mengawal demonstran sejuta ummat membantah ICERD , serta puluhan bantahan awam besar yang lain.
Jabatan Amal membantu pihak keselamatan, bomba dan penyelamat jika berlaku kes kemalangan, hilang di hutan atau sungai, bencana kebakaran besar, malah turut menjadi aktiviti ko-kurikulum di sekolah-sekolah Islam. Unit ini dikenali sebagai kadet amal serta dilatih daripada awal untuk menjadi aktivis yang berorientasikan khidmat masyarakat.
Anggota Amal tidak mudah digertak, aku teringatkan pada tahun 2002 apabila berlangsung Jambori Amal Peringkat Kebangsaan di Taman Templer, sekitar tapak jambori dikepung oleh FRU. Pada masa itu isu milintasi sangat mencuat, antaranya kes serangan WTC dan al-Maunah. Pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil kesempatan untuk menyulitkan pergerakan anggota amal dalam berprogram.
Aku menjadi Pengarah Jambori tersebut, program berlangsung dengan berjaya walaupun digertak untuk ditahan semua peserta Jambori Amal oleh pihak polis. Lebih seribu peserta berhimpun termasuk Amal Nisa’. Ustaz Kapten (B) Jamsari Marsom adalah Pengarah Amal Malaysia dan beliau adalah pesara pegawai tentera yang hebat. Termasuk pernah terlibat bersama PBB dalam misi pengaman ke Bosnia Herzagovena. Beliau berhujjah dengan OCPD tentang jambori dan kandungan jambori dengan hujjah-hujjah keselamatan.
Kepada pembenci-pembenci Unit Amal, abaikan mimpi kamu untuk melenyapkan Unit Amal bersama denyut nafas kami, seluruh ahli-ahli Parti Islam.
Mereka tidak menagih upah dan tanda jasa di atas khidmat bakti mereka, motto gerakan kepanduan PAS ini, “Di mana ada kesusahan, di situlah adanya kami”. Mereka akan berdiri tegap dalam majlis-majlis rasmi PAS, siap untuk diperiksa perbarisan oleh pimpinan utama PAS. Mereka semakin berkembang keahlian dan kepakaran termasuk Unit Scuba yang juga aktif membantu pwncarian mangsa lemas di sungai dan di laut, juga Unit khas yang dilatih dalam situasi sukar termasuk menyelamat daripada bangunan tinggi.
Tidak kurang anggota amal yang meninggal dunia saat sedang melakukan misi bantuan. Seorang anggota amal abang Mad yang sangat baik denganku, meninggal dunia ketika membantu mendirikan rumah mangsa banjir Kuala Kerai. Beliau suka berkhidmat termasuk membantu kerja siak di Surau Muttaqun USJ 12, Selangor.
Seorang veteran amal yang juga bekas anggota komando tentera Malaysia, iaitu abang Rahim dari Perak antara anggota Amal yang popular. Beliau jarang gagal untuk bertugas dan pernah terlibat mencari orang hilang. Beliau cekap seumpama belut, bahkan dengan tubuh tegap seperti berusia 20an walaupun abang Rahim komando telah mencecah 60 tahun.
Selama tempoh 29 tahun ini, Amal telah melalui pelbagai pahit getir, asam manis perjuangan dan tak lekang ditohmah para pembencinya. Aku merasa beruntung menjadi sebahagian daripada anggota Amal, mengenali teman-teman aktivis Amal yang tekun dan istiqomah seperti Cikgu Husein Ismail, Pak Jamu, Kapten Jamsari, Cikgu Li Terengganu, arwah Zainuddin Kubur Maras, arwah Abdul Aziz Marang (meninggal 17 Januari 2016) dan ribuan yang lain. Selamat menuai bakti untuk dekad-dekad seterusnya, kerana sepasang uniform merun yang disarung pemakainya telah dikenali umum dengan khidmat beramal kerana Allah , berbanggalah wahai anak-anak muda untuk menjadi ahli Jabatan Amal Malaysia.
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat)

Ulasan