Oleh KAM
KUALA NERUS - Seramai 370 ahli Jemaah Masjid Jamek Tok Jiring menunaikan solat Jumaat yang dilaksanakan dengan kerjasama15 petugas Jabatan Amal Kuala Nerus dan Unit Amal Ma’ahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah (MTT) Darul Iman.
Masjid tersebut adalah antara ratusan buah masjid yang mula dibenar bagi melaksanakan solat Jumaat, di bawah kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), 10 Jun lalu.
Imam dan Khatib Jumaat, Ustaz Muzaihar Kamal Mustafa Kamal menegaskan kepada para ahjemaah masjid tentang bahaya wabak Covid-19 yang masih belum ditemui vaksinnya.
Katanya, umat Islam diajak bertaubat serta memohon pertolongan Allah SWT agar wabak penyakit pandemik itu segera dijauhkan dari rakyat Malaysia.
“Sesungguhnya, tidak diturunkan sesuatu bala bencana melainkan kerana berlakunya kemungkaran dan maksiat kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa. Oleh itu, marilah kita (umat Islam) seluruhnya bertaubat dan memohon pertolonganNya,” ujarnya ketika menyampaikan khutbah Jumaat, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Kuala Nerus mengingatkan orang ramai agar tidak melupakan bantuan kepada golongan miskin dan dhaif yang memerlukan.
“Marilah kitatidak lupa untuk memberi bantuan kepada orang miskin, orang susah yang dhaif dan yang memerlukannya.
“Seruan juga kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO), barisan hadapan seperti Polis, Jururawat, Jabatan Amal dan sebagainya supaya melaksanakan tugas dengan penuh ikhlas dalam beramal,” jelasnya.
Namun, kata Ustaz Muzaihar, apa yang lebih penting adalah memohon kepada Allah SWT yang mencipta segala-galanya termasuk penyakit, agar diangkat wabak ini daripada bumi Malaysia.
Sehubungan itu, menurutnya, pihak pengurusan masjid berkenaan berjaya melaksanakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Dan Adap Melayu (MAIDAM), seawal jam 12.15 tengahari.
Ulasan